Kes tujuh negeri naik hari ini tapi di bawah paras 800

Tujuh negeri hari ini merekodkan jumlah peningkatan jangkitan baharu Covid-19 berbanding semalam, dengan semuanya di bawah paras 800 kes, menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri di seluruh negara hari ini.

Angka itu seiring dengan penurunan jangkitan baharu peringkat nasional dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 7,420 kes berbanding 8,084 kes semalam.

Tujuh negeri yang merekodkan peningkatan membabitkan Sabah yang mencatatkan 720 kes berbanding 691 kes semalam, diikuti Kedah (428 kes hari ini, 416 semalam); dan Pahang (356 kes hari ini, 289 semalam).

Melaka pula merekodkan 289 kes baharu berbanding 255 semalam, diikuti Negeri Sembilan (199 kes hari ini, 184 semalam); Putrajaya (39 kes hari ini, 24 semalam); dan Labuan (enam kes hari ini, sifar kes semalam).

Bagaimanapun, Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi jangkitan harian iaitu sebanyak 1,163 kes berbanding 1,630 kes semalam.

Secara keseluruhan sejak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu sehingga 12 tengah hari tadi, lapan negeri merekodkan kumulatif positif melebihi 100,000 kes.

Selangor merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 695,171 kes, diikuti Sarawak (229,479 kes); Sabah (208,819 kes); Johor (208,665 kes); Kuala Lumpur (187,606 kes); Kedah (142,643 kes); Pulau Pinang (138,833 kes); Kelantan (130,072 kes); dan Perak (110,985 kes).

Bagaimanapun sehingga semalam, 670,548 pesakit Covid-19 di Selangor telah sembuh. Demikian juga 211,208 pesakit sembuh di Sarawak, diikuti Sabah (195,527 kes sembuh); Johor (192,806 kes sembuh); Kuala Lumpur (183,526 sembuh); Kedah (136,099 sembuh); Pulau Pinang (131,467 sembuh); Kelantan (119,014 sembuh); dan Perak (103,996 sembuh).

Sementara itu, pulau peranginan Langkawi hari ini merekodkan 30 jangkitan baharu, turun berbanding 39 yang dicatat semalam. Satu kes kematian turut direkodkan di pulau itu hari ini.

Sembilan belas daripada pesakit dikesan menerusi saringan bergejala, saringan kontak rapat (sembilan), saringan kendiri (satu), dan saringan pra-pembedahan (satu).

Pulau peranginan itu dibuka semula kepada pelancong yang lengkap divaksinasi mulai 16 September lalu.

Pecahan kes mengikut mukim di Langkawi. – Sumber PKDLangkawi

BERITA BERKAIT
POPULAR