Kes tinggi tapi kematian rendah

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kadar kematian akibat jangkitan Covid-19 masih rendah susulan keberkesanan vaksin lengkap dan dos penggalak, berbanding tahun lalu.

“Berbanding tahun lalu ketika kes Covid-19 tinggi melebihi 20,000 sehari, kadar kematian juga tinggi. Ketika itu, ramai yang masih belum divaksin lengkap ataupun mendapat ‘booster’ (penggalak).

“Kini, walaupun kes tinggi semula akibat gelombang Omicron yang sangat mudah dan cepat merebak, kita melihat kes kematian yang lebih rendah.

“Maknanya sekarang ini tidak teruk. Ini sesuatu yang dialami sendiri di hospital-hospital Covid-19 yang sedang merawat pesakit Covid-19 seperti Hospital Sungai Buloh,” katanya menerusi platform TikTok hari ini.

Katanya keadaan itu menggambarkan situasi sekarang tidak seteruk tahun lalu, yang mana ketika itu merekodkan kes melebihi angka 20,000 sehari.

Khairy berkata keadaan di hospital Covid-19 seperti di Hospital Sungai Buloh di Selangor tidak seteruk dialami tahun lalu.

Berkongsi situasi di Hospital Sungai Buloh, seorang pakar forensik di situ, Dr Tan Ran Zhi, berkata keadaan di hospital itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan tahun lalu.

Katanya angka kematian Covid-19 di Hospital Sungai Buloh sewaktu kemuncak jangkitan dicetuskan varian Delta pada Julai hingga Ogos tahun lalu melebihi 20 hingga 30 kes sehari.

Berbanding sekarang, jelasnya kadar kematian akibat Covid-19 yang direkodkan lebih kurang tiga hingga empat kes sahaja sehari.

“Tahun lalu kita mempunyai lima kontena yang hampir penuh dengan mayat pesakit Covid-19. Lima kontena ini terdiri daripada tiga kontena kecil iaitu (bersaiz) 20 kaki dan dua kontena besar iaitu 40 kaki.

“Jadi untuk kelima-lima kontena ini penuh. Tetapi waktu pandemik sekarang, kita hanya tinggal dua kontena dan dua kontena ini bersaiz 20 kaki. Kedua-dua kontena ini belum lagi penuh dengan mayat (pesakit) Covid-19.

“Jadi betapa ketaranya perbezaan antara (situasi) pandemik Covid-19 pada tahun lalu dengan situasi pandemik untuk tahun ini,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR