Kes tinggi: Langkah tegas di Selangor, Kuala Lumpur diumum petang ini

Anggota tentera memasang kawat duri bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat. – Gambar Agenda Daily

Tindakan tersusun dan tegas akan dilakukan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, termasuk melaksanakan ‘penutupan penuh semua sektor’ di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Tindakan lebih tegas terpaksa diambil dan akan diumumkan beberapa jam lagi, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Katanya akan ada pihak yang marah apabila pengumuman itu dibuat tetapi langkah berkenaan terpaksa diambil kerana jumlah kes positif Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur masih pada tahap tertinggi walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Fasa Satu Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih dikuatkuasakan.

“Saya tahu ramai marah kenapa kilang masih dibuka dan sebagainya. Seperti saya dah katakan, siapa yang melanggar arahan dan prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan.

“Insya-Allah, kalau saya umumkan tentang Selangor petang ini, mungkin ada gambaran kilang akan ditutup. Mana-mana yang ada dalam mukim (PKPD) tersebut automatik akan ditutup,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19 apabila masing-masing mencatatkan 2,885 dan 988 kes.

28 Jun lalu angka jangkitan di Selangor turun di bawah 2,000 apabila merekodkan 1,989, tetapi naik semula pada 29 Jun dan semalam ia melonjak lagi kepada 2,836 kes.

Kuala Lumpur pula merekodkan 628 kes pada 28 Jun tetapi melonjak kepada 1,361 jangkitan sehari kemudian, tetapi turun semula kepada 625 kes semalam.

“Kerajaan memberi tumpuan kepada kedua-dua negeri berkenaan dengan langkah terperinci sedang diperhalusi. Kita mudah untuk membuat PKPD di Selangor, kita boleh gunakan daerah dan mukim tetapi di Kuala Lumpur tiada sempadan daerah dari segi pentadbiran, itu yang kita sedang kaji.

“Insya-Allah petang ini saya akan umumkan tindakan kita di Selangor dan Kuala Lumpur yang kita nampak menyebabkan kes tak turun. Kes di Selangor campur Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan catat jumlah separuh daripada kes seluruh negara,” katanya.

POPULAR