Kes terowong Guan Eng: Saksi dedah wujud konflik kepentingan

Seorang saksi kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendedahkan wujud konflik kepentingan susulan penglibatan tiga wakil Beijing Urban Construction Group (BUCG) dalam tiga mesyuarat awal Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membincangkan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Menurut laporan Utusan Online, penglibatan tiga wakil BUCG itu dikatakan menimbulkan konflik kepentingan dengan syarikat-syarikat pembida yang lain, menurut saksi Muhamad Azrai Mohamad Zaini, 39.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu tiga wakil tersebut ialah bekas Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang merupakan syarikat usahasama dengan BUCG, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, Lee Chee Hoe dan Ee Chin Fatt.

Muhamad Azrai berkata, kehadiran mereka dalam mesyuarat pada 2011 itu memberikan kelebihan kepada syarikat dari China itu mengetahui lebih awal setiap butiran dalam `Request For Proposal’ (RFP) sebelum dokumen tersebut diiklankan oleh kerajaan negeri.

Ujar saksi pendakwaan keempat itu, antara butiran tersebut termasuk skop kerja setiap projek, anggaran kos, kelayakan yang ditetapkan terhadap pembida tender, syarat-syarat teknikal dan kewangan serta pulangan kepada pembida dalam pelaksanaan projek.

Beliau yang sebelum ini berjawatan Penolong Pengarah Kanan (Kerja Raya, Utiliti & Pengangkutan) di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Pulau Pinang turut terlibat dalam mesyurat itu selaku Urusetia Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan bagi memilih pembida-pembida projek-projek infrastuktur di negeri itu.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng,60, yang didakwa terhadap tuduhan pindaan menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Muhamad Azrai menyatakan, oleh kerana projek itu telah diputuskan untuk ditawarkan sebagai tender terbuka, pada pendapatnya BUCG tidak sepatutnya terlibat dalam mesyuarat atau perbincangan bagi penyediaan dokumen RFP.

Saksi yang kini Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, BUCG tidak wajar terlibat pada peringkat awal penyediaan RFP sebelum tender terbuka diiklankan kerana ia mendapat kelebihan berbanding dengan syarikat-syarikat lain yang turut berminat menyertai tender terbuka.

Pada sesi pemeriksaan utama, saksi turut menyatakan, sebelum projek itu diberi kepada CZBUCG, terdapat beberapa syarikat mega antarabangsa lain termasuk dari Korea dan Jepun yang turut bersaing bagi mendapatkan tender tersebut.

Saksi berkata, dokumen RFP dikeluarkan oleh kerajaan negeri pada Julai 2012, iaitu setahun selepas tempoh mesyuarat diadakan.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengapa beliau tidak memaklumkan kepada pegawai-pegawai atasannya berhubung penglibatan awal BUCG dalam penyediaan RFP, saksi berkata ketika itu beliau baru berkhidmat dan kurang pengalaman serta beranggapan perkara itu sudah diketahui mereka.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, saksi bersetuju bahawa mesyuarat itu dikendalikan oleh Exco dan tidak melibatkan tertuduh.

Muhamad Azrai turut bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa kehadiran wakil BUCG dalam mesyuarat itu bukan satu masalah kerana ia susulan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Putrajaya pada 28 April 2011 di antara kerajaan negeri dan syarikat tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 10 September ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR