Kes terendah dalam 55 hari semalam

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam pada Ahad (3 April 2022), turun ke paras terendah sejak 55 hari lalu – hari ketiga Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik yang bermula pada Jumaat.

Dalam tempoh itu, seramai 12,380 individu disahkan dijangkiti virus SARS-CoV-2 , turun 2,312 kes, berbanding 14,692 yang dicatat pada Sabtu.

Kali terakhir negara mencatat jumlah jangkitan harian terendah tahun ini adalah pada 7 Februari iaitu sebanyak 11,034 kes, menurut data laman sesawang CovidNOW.

Jangkitan tahun ini melonjak mulai 8 Februari apabila negara merekodkan 13,944 kes dengan tertinggi adalah pada 5 Mac sebanyak 33,406 kes.

Jumlah terbaharu semalam menjadikan keseluruhan kes positif sejak empat kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020 lalu, meningkat kepada 4,246,467 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan 10 negara ASEAN selepas Vietnam dan Indonesia.

Data CovidNOW yang dikemas kini awal pagi tadi menunjukkan sehingga semalam seramai 4,018,421 pesakit telah sembuh, 35,099 kematian dicatat dan 192,947 kes masih aktif, dengan 188,534 individu dijangkiti Covid-19 tahap rendah menjalani kuarantin di rumah.

Selain itu, seramai 478 pesakit kini ditempatkan di PKRC; 3,682 dimasukkan ke hospital; dan 253 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 157 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, hanya Selangor merekodkan jangkitan harian empat digit iaitu sebanyak 7,613 kes, turun berbanding 8,662 kes pada Sabtu, manakala negeri-negeri lain di bawah 1,000 kes.

Bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan jangkitan harian semalam, dengan Pulau Pinang mencatat 572 kes, berbanding 440 pada Sabtu, diikuti Negeri Sembilan (412 kes, 394 Sabtu); Terengganu (235 kes, 210 Sabtu); dan Kelantan (184 kes, 146 Sabtu).

Pulau Pinang kini mencatat kumulatif positif sebanyak 269,466 kes, dengan 263,370 pesakit telah pulih, 1,948 kematian dan 4,148 kes masih aktif, termasuk 3,955 pesakit menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 156 pesakit dimasukkan ke hospital; 16 ditempatkan di PKRC; dan 21 dirawat di ICU dengan 11 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berikut adalah kumulatif positif mengikut negeri-negeri sejak awal 2020 lalu hingga Ahad:

  • Selangor – 1,220,014 kes;
  • Johor – 374,266;
  • Sabah – 368,080;
  • Kuala Lumpur – 331,115;
  • Sarawak – 299,936;
  • Kedah – 293,237;
  • Pulau Pinang – 269,466;
  • Kelantan – 245,467;
  • Perak – 191,290;
  • Negeri Sembilan – 191,022;
  • Pahang – 167,116;
  • Terengganu – 121,924;
  • Melaka – 117,496;
  • Labuan – 20,987;
  • Putrajaya – 18,227; dan
  • Perlis – 16,824 kes.

Sehingga Sabtu lalu, lebih 68.97 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi di Malaysia, termasuk rakyat asing, dengan 15,844,706 atau 67.3 peratus individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.

Sementara, 25,813,770 atau 79.0 peratus populasi melengkapkan dos kedua, dan 27,526,342 atau 84.2 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 3 April 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR