
Hisyam Teh Poh Teik akan mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan terakhir kes SRC di Mahkamah Persekutuan.
Peguam baharu yang akan mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes SRC International Sdn. Bhd. juga merupakan peguam utama kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan perbicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi.
Hisyam Teh Poh Teik dilantik Najib untuk mewakilinya dalam perbicaraan peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan pada Ogos nanti dan bukan lagi peguam lamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baharu dilantik Najib dalam suratnya dialamatkan kepada Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, memaklumkan bekas perdana menteri itu melantik Hisyam sebagai peguam utama dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam, sebagai peguam bersama.
“Dalam hal ini, kami dengan penuh hormatnya memohon supaya mahkamah merekodkan penukaran peguamcara dan kaunsel (peguam), sepertimana yang dinyatakan.
“Selaras dengan penukaran ini, kami juga memohon mahkamah untuk menetapkan satu tarikh sebutan dan tarikh pengurusan baharu dengan segera mengikut keselesaan mahkamah, bagi membolehkan kaunsel mengemuka maklumat terkini dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada mahkamah.
“Oleh kerana pengurusan kes ditetapkan pada 29 Julai ini rayuan pada 15 hingga 26 Ogos ini, kami berharap bahawa perkara ini boleh diuruskan dengan kadar segera bagi membolehkan pihak mendapatkan arahan yang diperlukan daripada mahkamah,” kata surat itu.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.
Hisyam ialah peguam Zahid yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.