Kes SRC: Najib belum fail petisyen rayuan kepada Mahkamah Persekutuan

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon lanjutan masa selewat-lewatnya hingga 25 April ini untuk memfailkan petisyen rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib selaku pemohon, memfailkan notis usul itu di Mahkamah Persekutuan pada 11 April lepas menerusi Tetuan Shafee & Co.

Berdasarkan afidavit sokongan yang diperoleh media hari ini , Najib berkata alasan penghakiman yang disediakan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengandungi 176 jilid keseluruhannya dan pihak pembelaan menerimanya pada 31 Mac lepas.

“Ia adalah mustahil untuk pasukan pembelaan saya meneliti rekod rayuan yang diterima dan menyediakan petisyen rayuan yang lengkap dalam masa yang singkat bagi menangani segala isu yang telah diketengahkan oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan.

Alasan penghakiman tersebut perlu diteliti dengan memeriksa nota prosiding pada kedua-dua peringkat prosiding bagi memastikan ketepatan dalam dapatan fakta, inferens yang dibuat dan undang-undang yang terpakai,” kata Ahli Parlimen Pekan itu memetik laporan Bernama.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Dalam penghakimannya Abdul Karim berkata Mahkamah Rayuan tidak dapat menerima penjelasan Najib  bahawa semua tindakannya berkaitan SRC International Sdn Bhd adalah demi “kepentingan negara”.

Mahkamah Rayuan menjelaskan yang Najib terlibat secara aktif dalam memastikan SRC International mendapat pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011 dan 2012.

Najib ketika itu adalah menteri kewangan dan perdana menteri. Dia mendapatkan kelulusan kabinet untuk Kementerian Kewangan menjadi penjamin bagi pinjaman itu.

“Tiada kepentingan negara di sini, hanya memalukan negara,” kata hakim.

Najib kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR