
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019, didapati bersalah dan dihukum penjara 12 tahun serta denda.
Rakyat di luar tertanya-tanya mengapa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak belum dimasukkan ke penjara dan masih bebas berjalan ke sana sini tanpa segan silu walaupun sudah dijatuhkan hukuman.
Najib sepatutnya menjalani hukuman penjara selepas disabitkan hukuman bersabit pertuduhan kes rasuah SRC International Sdn Bhd, tetapi perbicaraan kesnya kini di peringkat terakhir proses rayuan dan menyebabkan hukuman terhadap suami Datin Seri Rosmah Mansor itu masih tertangguh.
Dalam pada itu, Najib baharu sahaja memfailkan petisyen rayuan akhirnya baru-baru ini, malah tarikh pendengaran rayuan juga belum ditetapkan.
Mengambil duluan kes melibatkan kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, pendengaran rayuan akhir beliau hanya didengar enam bulan selepas petisyen rayuan difailkan.
Berkemungkinan senario sama juga akan berlaku dalam kes rayuan akhir Najib ini.
Menurut laporan media sebelum ini, pendengaran rayuan tersebut hanya akan didengar selepas permohonan Najib untuk memasukkan peguam kanan dari United Kingdom atau Queen’s Counsel bagi mewakilinya dalam rayuan terakhirnya itu diputuskan dengan muktamad.
Bagaimanapun, permohonan tersebut hanya akan difailkan secara rasmi paling lewat pada penghujung bulan Mei ini. Pendengaran permohonan untuk menerima masuk QC tersebut sebagai peguam Najib dijangka didengar pada penghujung Jun.
Peguam bela utama Ahli Parlimen Pekan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam laporan sama telah memberi bayangan bahawa sekiranya permohonan tersebut ditolak, maka pihaknya akan memfailkan rayuan.
Najib semasa mengemukakan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan memberi 94 alasan berhubung kes dihadapinya, ia berbeza sebelum ini di Mahkamah Rayuan sebanyak 307 alasan dikemukakan.
Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.
SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.
Persoalannya kini, adakah sehingga berlangsung pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dijalankan pun Najib masih tidak akan menjalani hukuman penjaranya?