Kes sembuh melebihi 6,000, kematian kekal di atas 100

Data 15 Julai 2021

Jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi kekal pada paras melebihi 100 pesakit, sementara 26 lagi kluster baharu direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu 110 kematian, termasuk 15 membabitkan bukan warganegara, dilaporkan menjadikan keseluruhan kes kematian sebanyak 6,613 kes.

“Sebanyak 6,095 kes sembuh menjadikan keseluruhannya 765,800 pesakit telah disahkan sembuh. Seramai 885 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dan 432 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

“108,369 kes daripada 880,782 jumlah keseluruhan kes masih aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau memaklumkan jumlah kes baharu meningkat kepada 13,215, termasuk 13 kes import yang juga membabitkan enam bukan warganegara.

“Daripada 13,215 jumlah kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 8,047 kes atau 60.9 peratus adalah daripada kategori 1 iaitu yang tidak bergejala;, 4,637 kes (35.1 peratus) kategori 2 (bergejala ringan), manakala selebihnya iaitu sebanyak 531 kes (4.0 peratus) adalah kategori 3 hingga kategori 5.

“Ini menunjukkan sebahagian besar daripada kes positif Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini adalah daripada kumpulan tidak bergejala dan bergejala ringan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata 873 kluster daripada keseluruhan sebanyak 3,168 kluster masih aktif manakala selebihnya sudah ditamatkan.

Daripada 26 kluster yang direkodkan hari ini, jangkitan di tempat kerja mencatatkan 15 kes, komiuniti (enam), pusat tahanan (tiga) dan dua kluster membabitkan pendidikan tinggi.

Selangor dan Johor masing-masing mencatatkan lima jangkitan di tempat kerja, diikuti tiga kluster di Kuala Lumpur, dan masing-masing satu di Sarawak dan Melaka.

Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Johor dan Kelantan juga masing-masing merekodkan satu kluster komuniti, manakala Kelantan Melaka dan Johor turut mencatat masing-masing satu kluster pusat tahanan.

Selangor dan Kuala Lumpur juga merekodkan kluster pendidikan tinggi.

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terkini pada 14 Julai 2021 nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.19 dengan Terengganu merekodkan RT tertinggi iaitu sebanyak 1.40.

“Negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya (RT 1.31), Kedah (RT 1.19), Selangor (RT 1.18), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RT 1.17), Pahang (RT 1.16), Melaka (RT 1.15), Negeri Sembilan (RT 1.13), Pulau Pinang (RT 1.10), Sabah (RT 1.06), Johor (RT 1.05), dan Perak (RT 1.04),” katanya.

POPULAR