Kes sembuh kurang, hanya 9 kluster baharu hari ini

Seramai 9,531 pesakit Covid-19 daripada 97,505 kes aktif dilaporkan sembuh dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, turun berbanding 11,413 yang direkodkan dalam tempoh sama semalam.

Angka itu bagaimanapun masih melebihi jumlah jangkitan baharu yang direkodkan dalam tempoh 24 jam itu sebanyak 7,509 kes.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga kelmarin, Selangor masih merekodkan jumlah kes sembuh tertinggi sebanyak 672,065 kes seiring dengan kadar jangkitan yang tinggi iaitu 695,164 kes.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sembilan kluster baharu dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam itu menjadikan keseluruhannya 5,663 kluster dengan 4,961 telah ditamatkan dan 702 lagi masih aktif.

Daripada jumlah itu, katanya, empat kluster membabitkan tempat kerja, tiga kluster berkaitan pendidikan, dan masing-masing satu kluster komuniti dan kumpulan berisiko tinggi.

Kluster komuniti melibatkan Hulu Perak dengan 18 individu dijangkiti Covid-19 daripada 23 yang disaring, manakala kluster kumpulan berisiko tinggi dikesan di Johor Bahru melibatkan 30 individu daripada 38 yang disaring.

Sementara itu, Johor juga merekodkan dua kluster tempat kerja iaitu di Kulai melibatkan tujuh pekerja daripada 170 individu yang disaring, dan Kluang membabitkan 46 individu daripada 264 yang disaring.

Negeri Sembilan mencatat satu kluster tempat kerja di Seremban dan Rembau yang membabitkan 22 individu daripada 252 yang disaring, sementara kluster sama dikesan di Klang, Selangor melibatkan 26 individu daripada 53 yang disaring.

Satu kluster berkaitan pendidikan masing-masing dicatat di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang melibatkan 11 individu positif Covid-19; Padang Terap, Kedah (48 individu); dan Pasir Mas, Kelantan (sembilan individu).

Mengenai kes harian pula, Dr Noor Hisham berkata daripada 7,509 jangkitan baharu 534 melibatkan bukan warganegara dan 16 kes import.

Daripada jangkitan harian yang dilaporkan hari ini, 116 kes atau 1.5 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5; manakala 7,393 kes (98.5 peratus) lagi adalah kategori 1 dan 2, katanya.

Beliau berkata 695 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 347 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR