Kes sembuh harian mengatasi kes baharu: Noor Hisham

Kes sembuh Covid-19 harian mengatasi jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah kes harian Covid-19 terus menunjukkan penurunan dengan 4,626 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, berbanding 4,979 kes semalam.

Jumlah kumulatif kes baharu kini 2,476,268.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu hari ini, hanya 94 kes atau dua peratus melibatkan kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 4,532 kes atau 98 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada jumlah kes baharu itu, enam kes adalah kes import manakala 4,620 kes melibatkan penularan tempatan,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi kes sembuh, sebanyak 5,299 kes dilaporkan, mengatasi kes baharu dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih Covid-19 kini 2,380,060.

Menurut kenyataan itu, terdapat 569 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 301 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti membabitkan tiga kluster tempat kerja, masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.

Ketua Pengarah itu memaklumkan kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara semalam pula ialah 0.95 dengan Kuala Lumpur mencatat kadar Rt tertinggi iaitu 1.02 manakala Labuan kekal satu-satunya kawasan mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dengan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

BERITA BERKAIT
POPULAR