Kes semakin naik, JKNS buka dewan baharu PKRC MAEPS

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan membuka sebuah lagi dewan bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), susulan jumlah pesakit yang semakin bertambah.

Dalam satu kenyataan hari ini, JKNS memaklumkan 3,454 pesakit Covid-19 menerima rawatan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 yang berkapasiti 5,869 buah katil.

“Untuk makluman, PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 yang kini berkapasiti 5,869 buah katil sedang dalam proses meningkatkan kapasiti merawat pesakit dengan pembangunan sebuah lagi dewan berikutan peningkatan angka pesakit yang tinggi terutama di sekitar di Lembah Klang.

“Ini diharap akan dapat meningkatkan keselesaan kepada pesakit yang dirawat di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0,” kata kenyataan itu.

Menurut JKNS, pada peringkat awal penubuhan PKRC Bersepadu MAEPS hanya bertujuan menempatkan pesakit stabil dengan kategori 1 dan 2 sahaja manakala pesakit berumur lebih 70 tahun dan kanak-kanak di bawah 2 tahun pula ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh.

Namun, disebabkan peningkatan pesakit yang mendadak ketika ini, PKKN tidak dapat menampung jumlah pesakit dalam kategori tersebut dan mereka terpaksa ditempatkan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, kata JKNS.

JKNS juga berkata, peningkatan kes Covid-19 terkini juga menyaksikan pertambahan kes kategori 3 yang mendadak di mana pada awalnya PKRC Bersepadu MAEPS hanya menyediakan 60 katil bagi kategori tersebut dan kini menempatkan sebanyak 752 buah katil serta akan ditambah kapasitinya menjadi 1,000 buah katil dalam waktu terdekat.

“Pada masa ini, purata jumlah kemasukan pesakit adalah sekitar 600 sehari dengan pesakit harian yang pernah mencecah sehingga 1,800 orang.

“Pesakit yang dimasukkan ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 perlu melalui penilaian kesihatan bagi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan yang diberikan adalah berpandukan kepada kategori rawatan mengikut simptom terutama pesakit di dalam kategori 3.

“Untuk pengetahuan ramai, isu penjarakan fizikal di dalam pusat kuarantin yang dinyatakan tidak menjadi masalah kerana semua pesakit yang terlibat telah disahkan positif Covid-19,” kata JKNS.

BERITA BERKAIT
POPULAR