Kes saman serangan seksual, Anwar mohon dapatkan mesej perbualan dengan Yusof

Permohonan perintah mahkamah bagi mendapatkan mesej perbualan WhatsApp daripada Muhammad Yusoff Rawther dimohon Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bertujuan untuk digunakan dalam pembelaannya.

Anwar memohon mendapatkan salinan mesej dan beberapa dokumen lain, ia selepas beliau disaman Yusoff kerana membuat serangan seksual  di rumahnya pada 2018 lalu.

Permohonan itu dibuat walaupun Anwar sebelum ini mendakwa serangan seksual itu adalah “palsu dan direka” dan didakwa bermotif politik untuk mencemarkan imej Ahli Parlimen Port Dickson itu dan menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri.

Dalam salinan permohonan itu, Anwar meminta Yusoff mengeluarkan “salinan semua perbualan WhatsApp antara plaintif (Yusoff) dan defendan (Anwar) dari 2 Sept 2018 hingga 5 Jun 2019”, menurut laporan Malaysiakini.

Antara dokumen lain yang dikehendaki presiden PKR itu ialah salinan akuan berkanun (SD) Yusoff bertarikh 19 Nov 2019 dan laporan polis bertarikh 7 Dis, tahun yang sama.

“Saya dinasihatkan oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa adalah penting bahawa saya dibenarkan untuk meneliti dan mengambil salinan dokumen-dokumen tersebut kerana ia adalah bukti penting kepada isu-isu teras yang dipertikaikan, yang akan membantu dalam pelupusan saksama guaman ini dan/ atau dalam menjimatkan kos.

“Dalam hal ini, penzahiran dokumen-dokumen tersebut akan mengandungi maklumat yang akan membantu membuktikan dakwaan-dakwaan material dalam kes plaintif dan/atau secara langsung atau tidak langsung membolehkan saya memajukan kes saya,” kata Anwar dalam permohonannya itu.

Yusoff sebelum ini membuat pengakuan pernah menjadi pembantu penyelidik Anwar.

Namun dakwaan itu dipertikaikan oleh Presiden PKR itu yang mengatakan Yusoff hanyalah sukarelawan junior atau pelatih di pejabat PKR di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor.

Terdahulu Yusoff bertindak memfailkan tuntutan saman dan mendedahkan beberapa maklumat yang sensitif dalam tuntutannya terhadap Anwar.

Terdapat sembilan tuntutan semuanya daripada Yusoff terhadap Anwar, selain menuntut ganti rugi khas RM180 setiap sesi terapi dan yang masih terakru.

Yusoff, yang merupakan cucu kepada aktivis pengguna terkemuka SM Mohamed Idris, berkata dia diperkenalkan kepada Anwar ketika pemimpin PKR itu melawat rumah arwah datuknya di Pulau Pinang pada 2 September 2019, kurang dari empat bulan selepas beliau dikurniakan pengampunan diraja bagi sabitan kes liwat

Dua tahun lalu Yusoff membuat laporan polis terhadap Anwar itu berhubung tuduhan sama, namun kes tersebut digugurkan Peguam Negara era pentadbiran Pakatan Harapan waktu itu, Tommy Thomas.

BERITA BERKAIT
POPULAR