
Bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kesnya melibatkan tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram bagi program Jana Wibawa didengar di Mahkamah Tinggi.
Anggota pasukan guaman Muhyiddin, Rosli Dahlan berkata permohonan difailkan pada 27 April lalu untuk memindahkan kes tersebut dari Mahkamah Sesyen kerana ia melibatkan beberapa isu Perlembagaan.
Katanya, pihak pembelaan berhasrat mencabar keperlembagaan pelbagai peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 semasa prosiding.
“Memandangkan isu undang-undang dan fakta yang rumit akan dibangkitkan, lebih wajar kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes lapor FMT.
Katanya, permohonan untuk memindahkan kes itu dibuat oleh pihak pembelaan memandangkan pihak pendakwaan tidak memulakannya sendiri.
Pada sidang pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendaftar Nur Shafini Mustafha memberi pihak pendakwaan masa hingga 22 Mei untuk memfailkan afidavit sebagai jawapan.
Beliau juga menetapkan pengurusan kes pada 12 Jun.
Pada 10 Mac, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa bagi empat kesalahan salah guna kuasa di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 8 Februari dan 20 Ogos 2021.
Sebagai perdana menteri, beliau didakwa menerima RM232.5 juta dan mengubah RM200 juta secara haram, kesalahan yang menjadi subjek tiga tuduhan.
Rosli berkata, Nur Azizah memberi masa kepada pihak pendakwaan hingga 29 Mei ini untuk memfailkan afidavit sebagai jawapan kepada permohonan pemindahan kes oleh pihak Muhyiddin.
Pengurusan kes akan diadakan pada 31 Mei.
Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.
Kontroversi tercetus selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kos beberapa projek terlalu tinggi dan ia dianugerahkan tanpa melalui proses tender.
Pada 19 April, Muhyiddin turut memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuduhan salah guna kuasa atas alasan tuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM itu tidak menunjukkan berlaku sebarang kesalahan.
Beliau mahu semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.