Kes Rumah Bonda: Saksi nafi polis sebar gambar kecederaan Bella

June 29, 2022 · Isu semasa

Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa gambar-gambar kecederaan yang dialami remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella yang dipaparkan di laman Facebook seorang aktivis wanita, bukan dibocorkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Juruanalisis Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik PDRM Inspektor Mior Samsul Abd Rahman berkata beliau tidak mengetahui gambar-gambar membabitkan kecederaan remaja itu disebarkan aktivis dikenali sebagai Mona Din di dalam Facebook miliknya pada 12 Ogos 2021 diperoleh daripada sumber mana.

Disoal peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali bahawa gambar-gambar itu dibocorkan oleh Mona Din bersumberkan daripada telefon bimbit yang ada dalam milikan pihak polis, saksi itu menjawab: Itu saya tidak tahu.

Asiah: Saya cadangkan ketika inspektor membuat analisis pada kandungan telefon bimbit dan menyiapkan laporan pada 9 Ogos 2021, telefon bimbit itu berada di tangan pihak polis sepanjang masa, setuju?

Mior Samsul: Ya, sepanjang masa telefon bimbit itu berada di tangan saya.

Saksi pendakwaan ke-10 itu menolak cadangan peguam bahawa ada pegawai lain selain dirinya yang mengendalikan telefon bimbit tersebut dan membocorkan gambar-gambar itu kepada orang awam.

Terdahulu, Mior Samsul berkata semua barang kes dianalisis mengikut prosedur ditetapkan serta peralatan yang digunakan untuk menganalisis berada dalam keadaan baik.

Mior Samsul dalam pernyataan saksinya sebelum ini berkata pada 22 Julai 2021, beliau menerima permohonan analisis berkaitan kes itu dan menerima barang kes iaitu sebuah telefon bimbit jenama iPhone bersama satu kad sim Maxis yang dihantar oleh Insp Suhaili Mahad.

Menurut Mior Samsul permohonan pegawai penyiasat dalam kes itu adalah untuk menjelaskan gambar kecederaan daripada video bertarikh 24 Jun 2021.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung. – Bernama

Berita berkaitan
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024· Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024· Isu semasa
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Punca penderaan di taska meningkat
April 24, 2022
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2027
May 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok