Kes RM2 juta, Mat Maslan mengaku tidak bersalah

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dibacakan pertuduhan berhubung kes gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Parlimen Pontian yang berdepan dua pertuduhan membabitkan sejumlah wang yang diterima daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengakuan tersebut selepas dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Ketika ditanya sama ada beliau faham kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, Ahmad menjawab “Faham, saya mengaku tidak bersalah.”

Hakim kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes pada 29 September ini.

Ahmad, pada 21 Jan 2020, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau didakwa menerima wang itu, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 dan cek tersebut telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 30 April 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal mengenai isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di sini antara 2.45 dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, perbicaraan kes itu ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussain bermula 5 Julai lepas.

Kes itu bagaimanapun dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan membenarkan permohonan Ahmad untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen.

Mahkamah memutuskan demikian atas alasan antaranya terdapat persoalan undang-undang serius yang timbul terutama dalam pertuduhan dihadapi anak guamnya di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

BERITA BERKAIT
POPULAR