
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan tuduhan penyelewengan RM2.8 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pihak pendakwaan merancang memanggil 20 lagi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan lebih RM2.28 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ia menutup kes terhadap bekas perdana menteri itu.
Di Mahkamah Tinggi hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan berkata pasukannya telah memanggil 15 saksi baharu bagi bulan Jun sahaja.
“Kami mempunyai 20 lagi saksi sebelum kami boleh menutup kes kami,” katanya kepada hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Perbicaraan 1MDB bermula pada 28 Ogos 2019 dan telah menghadapi gangguan susulan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Pihak pendakwaan memanggil 18 saksi menjelang Mei tahun ini dan ditambah dengan 15 saksi setakat ini. Ini bermakna seramai 33 orang kesemuanya telah dipanggil.
Hari ini adalah hari terakhir perbicaraan 1MDB untuk bulan ini.
Jadual tarikh perbicaraan seterusnya untuk perbicaraan 1MDB adalah pada Ogos, dan untuk kebanyakan minggu pada bulan September hingga Disember 2022.
Dalam perbicaraan jenayah, pihak pendakwaan akan membentangkan kesnya dengan mengemukakan bukti dan memanggil saksi pendakwaan untuk memberi keterangan, dengan mahkamah kemudiannya memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah menunjukkan kes prima facie dan sama ada tertuduh perlu membela diri.
Salah satu senario yang mungkin adalah di mana mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan kes prima facie, yang bermakna tertuduh akan bebas daripada pertuduhan.
Jika mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah menunjukkan kes prima facie, maka tertuduh perlu memilih sama ada untuk mengemukakan pembelaan, berdiam diri, atau memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi di mana dia akan diperiksa balas balas atau dengan akuan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh.
Tertuduh juga boleh memanggil saksi pembelaan, sebelum mahkamah memutuskan sama ada tertuduh bersalah atau tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Hanya jika seseorang didapati bersalah, mahkamah akan meneruskan untuk menjatuhkan hukuman seperti jumlah denda atau hukuman penjara, bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan dan fakta kes.
Satu lagi senario yang mungkin dalam perbicaraan secara amnya ialah mahkamah boleh memutuskan bahawa orang yang dituduh perlu membela diri atas hanya beberapa pertuduhan, sambil membebaskan tertuduh daripada pertuduhan lain.
Najib, 67, menghadapi empat tuduhan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.8 bilion.
Ahli Parlimen Pekan itu juga didakwa atas 16 tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.
Najib turut didakwa dengan lima tuduhan, menggunakan hasil daripada aktiviti haram untuk disalurkan kepada lima pihak.
Ia membabitkan RM20,000,000 kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO); UMNO Bahagian Batu Kawan (RM100,000); ahli perniagaan, Lim Soon Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn. Bhd (RM2,000,000) dan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM303,000).