Kes rasuah: Zahid ulangi dakwaan pertuduhan bermotifkan politik

August 29, 2022 · Isu semasa

Presiden UNNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini sekali lagi menegaskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia berdepan pendakwaan bermotifkan politik selepas gabungan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018.

Zahid, yang memberi keterangan membela diri dalam perbicaraan rasuahnya, memberitahu mahkamah bahawa aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan cepat dibuat terhadapnya selepas BN ketika itu gagal memperoleh kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan selepas PRU-14.

Susulan pertukaran kerajaan di mana gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, Zahid mendakwa pemimpin daripada gabungan BN didakwa manakala ahli politik PH dibebaskan daripada kes jenayah.

“Segelintir ahli politik yang dahulunya menjadi pembangkang dan kemudian apabila PH mengambil alih, terdapat 15 orang yang berada di mahkamah dan menghadapi pertuduhan, kesemua 15 daripada mereka ditarik balik pertuduhan, manakala kami yang kalah, kami didakwa.

“Saya ingin menyatakan bahawa antara mereka yang ditarik balik pertuduhan termasuk YB Sivarasa, YB Lim Guan Eng, YB Hassan Karim, Rafizi Ramli, dan beberapa orang lagi.

“Seingat saya 15 orang. Manakala pihak yang kalah, selain saya, Datuk Seri Najib (Razak), Setiausaha Agung UMNO sendiri YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Bendahari UMNO YB Tengku Adnan (Tengku Mansor) dan lebih kurang 18 lagi pemimpin parti saya turut dihadapkan ke mahkamah.

“Dan terdapat lebih 81 ketua bahagian yang turut dipaksa untuk diheret dan didakwa di mahkamah atas tuduhan memperoleh dana daripada organisasi di bawah pentadbiran bekas perdana menteri itu,” dakwa Zahid menurut laporan Malay Mail.

“Yang Arif, jika ini bukan pendakwaan politik, saya tidak tahu istilah apa lagi yang boleh digunakan, kerana mereka yang didakwa telah ditarik balik pertuduhan oleh peguam negara ketika itu, manakala mereka daripada pihak yang kalah diheret ke mahkamah untuk dikenakan tindakan,” tambahnya.

“Jadi contoh-contoh ini, saya pertimbangkan, dan persepsi orang ramai juga menganggap ini sebagai pendakwaan politik atau pendakwaan terpilih,” dakwanya lagi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Zahid kemudian bercakap tentang kepercayaannya terhadap mahkamah adalah adil dan keadilan adalah sistem perundangan yang betul, tetapi kemudian mencadangkan supaya sistem perundangan tidak digunakan untuk membalas dendam.

Dia juga menyatakan bahawa laporan SPRM yang dibuat terhadapnya dibuat berikutan kekalahan BN pada PRU14 dan setelah BN menjadi pembangkang.

Merujuk kepada 47 pertuduhan terhadapnya, Zahid juga mendakwa terdapat ‘perbicaraan’ yang dijalankan di ‘mahkamah pendapat umum’.

Dalam kes ini, Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 daripadanya kerana pecah amanah berhubung lebih RM31 juta dana Yayasan Akalbudi (YAB), 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah lebih RM21.25 juta.

Zahid didakwa dengan 12 pertuduhan pecah amanah, iaitu menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah pula, dia didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Berita berkaitan
Hari ketiga perbicaraan kes Ebit Lew, seorang lagi pendakwah dijangka jadi saksi
10 minit lalu· Isu semasa
Apa jasa Zahid pulihkan negara selain desak PRU awal dan jatuhkan kerajaan?
2 jam lalu· Politik
Anwar beri isyarat tak lawan anak murid di Bagan Datuk
3 jam lalu· Politik
‘Mencurah wang’ daripada syarikat berkait Jho Low masuk akaun Najib
17 jam lalu· Isu semasa
Popular
Pakar motivasi nafi cuba rosakkan reputasi Ebit Lew
September 28, 2022
Kerajaan perlu wujudkan mekanisme pantau, nilai pelaksanaan syor MPN
September 28, 2022
Mahkamah tolak permohonan Shafee gantung prosiding saman LHDN
September 28, 2022
‘Mencurah wang’ daripada syarikat berkait Jho Low masuk akaun Najib
September 28, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Bajet 2023 kekal fokus bina semula, kukuhkan ekonomi
16 minit lalu · Isu semasa
Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding semalam berbanding dolar
1 jam lalu · Isu semasa
Semakan keperluan pemakaian pelitup muka dalam kapal terbang
2 jam lalu · Isu semasa
2,445 kes semalam, dua kematian
4 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan perlu wujudkan mekanisme pantau, nilai pelaksanaan syor MPN
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Sampai kiamat pun Guan Eng kata saya menteri gagal, sindir Hishammuddin
September 27, 2022
[VIDEO] PAS komited bersama PN, akan umum hala tuju PRU15
September 27, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok