Kes rasuah Zahid: Peguam dakwa tuduhan ada kecenderungan politik

September 1, 2022 · Isu semasa

Peguam yang mewakili Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuahnya cuba meyakinkan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini (1 September 2022) bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa secara terpilih berhubung wang yang diterima berkaitan pemberian kontrak sistem visa asing (VLN).

Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa pihak pendakwa raya tidak bertindak adil dengan mendakwa Zahid manakala tiada seorang pun daripada mereka yang berprofil tinggi yang dikatakan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), turut didakwa.

Ini, katanya, menunjukkan pelanggaran hak anak guamnya di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5 menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang, manakala Perkara 8 menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

“Undang-undang memerlukan pendakwa raya bertindak adil. Ia bukan untuk kepentingan awam jika pihak pendakwaan mengamalkan diskriminasi.

“Keputusan untuk mendakwa tertuduh hanya mempunyai tujuan diskriminasi dan mengatakan diskriminasi adalah disebabkan kecenderungan politiknya,” kata Hisyam dalam hujahan lisannya, hari ini.

Ketika membentangkan kesnya, Hisyam mula-mula memetik keterangan lisan bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun (saksi pendakwaan ke-17) di mana beliau telah memberi keterangan pembayaran tunai dibuat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika perbicaraan, Muhyiddin didakwa menerima sejumlah RM1.3 juta pada 2018 sepanjang menjadi Menteri Dalam Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Hisyam turut membaca nama individu yang didakwa menerima wang daripada UKSB iaitu:

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Nama lain yang disebut ialah Ketua Penerangan UMNO yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri, Shahril Hamdan; pemimpin MCA, Tan Sri Ong Ka Chuan; Tan Sri Chan Kong Choy, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, semua mereka, termasuk Muhyiddin menafikan menerima wang daripada UKSB sebagai didakwa.

“Pihak pendakwaan mesti menjawab semua soalan ini. Jika mereka tidak dapat menjawab, ia menjadi titik hujahan kami iaitu pendakwaan terpilih,” kata Hisyam menurut laporan MalayMail.

Hisyam turut berhujah bahawa penerimaan derma politik adalah tidak salah atau menyalahi undang-undang seperti yang dinyatakan dalam kes terdahulu Tengku Adnan bin Tengku Mansor lwn Pendakwa Raya (2021).

Oleh itu, Hisyam mengakui bahawa pembelaan anak guamnya tidak sepatutnya dipanggil kerana terdapat perlanggaran jelas dalam Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Pasa 11 Ogos lalu, pihak pendakwaan menutup kes terhadap Zahid berhubung 40 pertuduhan jenayah, termasuk menerima rasuah daripada UKSB berkaitan kontrak VLN.

Sebelum ini pihak pendakwaan telah memanggil 18 saksi dan mengemukakan lebih 100 dokumen kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membuktikan jenayah dilakukan Presiden UMNO itu.

Susulan penutupan kes pendakwaan hari ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 1, 2, 5, 6, 7 dan 8 September untuk hujahan lisan bagi kedua-dua pihak mengemukakan hujah akhir.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.

Presiden UMNO itu didakwa melakukan semua perbuatan berkenaan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung.

Berita berkaitan
PH pertimbang tolak Bajet 2023 jika tiada jaminan PRU tahun depan: Anwar
2 jam lalu· Politik
Sokongan Melayu kepada UMNO jatuh teruk sejak Najib masuk penjara: Rafizi
11 jam lalu· Politik
Senario dihadapi Ismail Sabri sama dengan Muhyiddin, bezanya cuma..
12 jam lalu· Politik
Ku Li bidas keputusan UMNO mahu PRU-15 semasa banjir ikut nafsu semata-mata
October 1, 2022· Politik
Popular
Anak bekas Menteri Agama meninggal dunia, Al Fatihah
October 2, 2022
81% pencarum KWSP Bumiputera miliki kurang RM1,000: Laporan
October 1, 2022
Kawasan Parlimen Mat Maslan dilanda banjir lagi
October 2, 2022
Rugi jika bubar MPN
October 2, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Pakar tempatan juga ada keupayaan urus ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi
3 jam lalu · Isu semasa
Kawasan Parlimen Mat Maslan dilanda banjir lagi
3 jam lalu · Isu semasa
KDN komited selesaikan isu sejuta penduduk tanpa dokumen di Sabah
9 jam lalu · Isu semasa
Rugi jika bubar MPN
10 jam lalu · Isu semasa
Anak bekas Menteri Agama meninggal dunia, Al Fatihah
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Sekolah jadi pusat mengundi atau penempatan mangsa banjir, soal Rina Harun
2 jam lalu
[VIDEO] Mesyuarat MKT UMNO putus 9 ketetapan
October 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok