Kes rasuah Zahid di Mahkamah Tinggi Shah Alam pula ditangguh

Perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini ditangguh kepada 1 September.

Hakim Mohd Yazid Mustafa menegaskan perbicaraan perlu disambung minggu depan kerana kepentingan awam tetapi bergantung kepada keadaan Zahid yang dilaporkan akan menjalani pembedahan.

Beliau berharap pihak pendakwaan dan pembelaan dapat mencari tarikh yang dipersetujui untuk perbicaraan diteruskan.

Terdahulu, peguam Zahid, Ahmad Zaidi Zainal, memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya dimasukkan ke hospital atas kecederaan yang dialaminya akibat jatuh.

Presiden UMNO itu berdepan 40 tuduhan menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung sistem visa asing kerajaan. Kes ini kali terakhir didengar pada 27 Mei, sebelum ditunda beberapa kali.

Zahid, 68 tahun, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Dia didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Presiden UMNO itu didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Dia  didakwa melakukan kesalahan tersebut di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan lagi prosiding membabitkan penghujahan lisan kes Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, setelah Presiden UMNO itu dimasukkan ke hospital untuk prosedur kecederaan tulang belakang,

Penghujahan lisan kes Presiden UMNO itu sepatutnya didengar mulai hari ini dan 6 hingga 9 September depan, setelah pihak pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac lalu.

Bagaimanapun ketika prosiding bermula, peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Zahid memberitahu mahkamah anak guamnya tidak dapat hadir kerana perlu menjalani prosedur ‘pain intervention’.

Dalam kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, Presiden UMNO berkenaan berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Dia didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Presiden UMNO itu dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

BERITA BERKAIT
POPULAR