Kes rasuah Zahid: 23 September keputusan bebas atau bela diri

September 7, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 23 September untuk membuat keputusan sama ada akan membebaskan atau memanggil Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membela diri berhubung 33 pertuduhan rasuah menerima S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk memudahkan sistem visa asing syarikat dan perkhidmatan sehenti di China.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga dibicarakan atas tujuh pertuduhan rasuah lain atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, di mana dia didakwa memperoleh sendiri rasuah dalam mata wang berbeza yang terdiri daripada S$1.15 juta, RM3 juta, €15,000 dan AS$15,000 daripada UKSB .

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung kes itu.

Mohd Yazid mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan nota daripada penghujahan lisan lima hari mereka pada 13 September, dan hakim akan memutuskan sama ada terdapat kes prima facie atau sama ada Zahid mempunyai kes untuk dijawab berhubung semua 40 pertuduhan rasuah terhadapnya pada 23 September.

Perbicaraan kedua Zahid bermula pada 24 Mei 2021 dengan 19 saksi pendakwaan memberi keterangan.

Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, dibantu Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wei Keong.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie

Beliau memberi tiga pilihan terhadap Zahid untuk membela diri iaitu memberi keterangan secara bersumpah, berdiam diri atau memberi kenyataan tidak bersumpah dari tempat saksi tanpa pemeriksaan balas.

Hisyam Tehyang mewakili Zahid memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Dalam kes ini, Zahid, mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Zahid, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B)r Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta SPRM 2009) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini.

Berita berkaitan
Ku Li bidas keputusan UMNO mahu PRU-15 semasa banjir ikut nafsu semata-mata
17 jam lalu· Politik
PAS aktifkan jentera pilihan raya selepas UMNO desak PM bubar Parlimen
17 jam lalu· Politik
Perlu UMNO bekerjasama dengan parti lain nak menang PRU, kata Ku Li
September 30, 2022· Politik
AS$600 juta masuk dalam akaun Najib boleh jejas nilai ringgit, kata saksi kes 1MDB
September 29, 2022· Isu semasa
Popular
81% pencarum KWSP Bumiputera miliki kurang RM1,000: Laporan
October 1, 2022
Najib dapat keistimewaan kerana MOU Anwar dan DAP dengan kerajaan
November 19, 2021
Krisis ekonomi global 2023?
October 1, 2022
Kes baharu hampiri 7,000, Selangor, KL tertinggi
July 1, 2021
Lagi Isu semasa terkini
81% pencarum KWSP Bumiputera miliki kurang RM1,000: Laporan
11 jam lalu · Isu semasa
2,007 kes semalam, 5 kematian
17 jam lalu · Isu semasa
Gempa bumi di Indonesia dirasai penduduk sekitar Lembah Klang
17 jam lalu · Isu semasa
Krisis ekonomi global 2023?
20 jam lalu · Isu semasa
Ejen kosmetik diculik di Tumpat cuba diseludup ke Laos: Laporan
September 30, 2022 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mesyuarat MKT UMNO putus 9 ketetapan
October 1, 2022
[VIDEO] 4 wilayah Ukraine jadi milik Rusia
October 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok