
Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Saksi ke-23 kes rasuah pembinaan projek terowong dasar laut memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau terhutang budi dengan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata tidak mahu mengaitkan Guan Eng dalam apa cara sekali pun berhubung kes rasuah pembinaan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Zarul semasa sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menafikan mempunyai tiada niat untuk mereka-reka cerita dan tindakannya mengarahkan bekas pengarah, Ibrahim Sahari dan bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Azli Adam menggunakan invois dan baucar yang dipalsukan bertujuan supaya nama Ahli Parlimen Bagan itu tidak dikaitkan.
Jelasnya, arahan tersebut diberikan bagi mengelakkan dirinya disiasat, Zarul Ahmad sebaliknya menjawab tindakan itu diambil kerana tidak mahu mengaitkan nama Guan Eng.
Saksi itu juga disoal sama ada beliau mengetahui syarikatnya mendapat markah tinggi dalam tawaran tender projek pembinaan terowong berkenaan, di sebalik keterangannya sebelum ini yang menyatakan dijanjikan projek itu oleh Guan Eng dengan pulangan beliau memberikan 10 peratus keseluruhan keuntungan kepadanya (Guan Eng).
Wan Shaharudin: Akhirnya kamu yang dapat projek itu. Adakah kamu ada sebab untuk mereka-reka cerita?
Zarul Ahmad: Saya tiada niat untuk reka. Saya banyak terhutang budi kepada dia (Guan Eng) dan kalau boleh tidak mahu mengaitkan beliau dalam kes ini.
Zarul Ahmad berkata, selepas dibebaskan daripada tahanan reman selama 11 hari pada awal Januari 2018 berhubung siasatan kes rasuah pembinaan terowong di Pulau Pinang, beliau berjumpa Ibrahim dan Azli dan memberitahu mereka invois dan baucar berkenaan adalah bagi pembayaran kepada Guan Eng.
Mengenai dua kenyataan media yang diberikannya kepada media, saksi itu berkata Guan Eng mengarahkannya berbuat demikian untuk menampakkan seolah-olah beliau dipaksa memberikan kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Zarul Ahmad memberikan keterangan terhadap Guan Eng yang didakwa atas dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Guan Eng didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.