Kes rasuah terowong, Guan Eng mohon tangguh perbicaraan pula

Lim Guan Eng dibicarakan berhubung kes rasuah pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.

Pemimpin utama DAP, Lim Guan Eng yang terpalit dengan kes rasuah pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang itu memohon perbicaraan kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, ia sepatutnya bersambung perbicaraan Selasa depan di Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menerusi peguamnya Tetuan Gobind Singh Deo & Co membuat permohonan tersebut semalam (8 Julai) supaya semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya bagi memindahkan kes, yang akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin, Isnin ini.

Guan Eng Lim menerusi afidavit sokongannya berkata kes dihadapinya itu perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi agar keputusan berkaitan kes berkenaan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya akan membantah permohonan berkenaan antaranya atas alasan ia difailkan di saat akhir, lapor Bernama.

“Perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen akan bermula Selasa depan di hadapan Hakim Azura Alwi dan pihak pendakwaan telah bersedia untuk menjalankan kes dan akan memanggil beberapa orang saksi dari Pulau Pinang untuk memberi keterangan.

“Namun, semalam pihak kami mendapat tahu bahawa peguam bela kepada YB Lim telah memfailkan permohonan di bawah Sesyen 417 Kanun Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes dihadapi Lim dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi,” katanya yang turut memaklumkan tarikh perbicaraan kes itu telah dipersetujui kedua-dua pihak pada 21 Dis tahun lepas.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 13 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 Sept, 20 hingga 24 Sept dan 13 hingga 17 Dis depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

POPULAR