Kes rasuah RM2.3 bilion Najib: Bekas CEO 1MDB buat pendedahan

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa hanya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low boleh mengesahkan bahawa arahan bagaimana untuk mengendalikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebenarnya datang daripada Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman mendedahkan perkara ini selepas disoal balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili bekas Perdana Menteri itu pada perbicaraan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB.

Wan Aizuddin menyoal saksi berumur 49 tahun itu mengenai salah urus 1MDB yang telah menyebabkan syarikat pembangunan strategik itu menanggung banyak pinjaman dan liabiliti tidak perlu, yang dipersetujui Mohd Hazem.

Memetik laporan Bernama, saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa terdapat dana 1MDB yang diseleweng dan disalurkan kepada pelbagai organisasi untuk manfaat Jho Low.

Wan Aizuddin: Sekarang anda katakan dalam pelbagai bahagian penyataan saksi dan juga keterangan di mahkamah bahawa telah secara konsisten menerima arahan daripada Jho Low, dari tajuk perbincangan dan juga secara lisan?

Mohd Hazem: Ya.

Wan Aizuddin: Anda juga bersetuju dengan saya bahawa hanya Jho Low boleh mengesahkan kepada mahkamah ini bahawa kesemua arahan ini yang diberikan kepada beliau adalah daripada Datuk Seri Najib?

Mohd Hazem: Ya.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Jho Low kini dalam buruan dan telah melarikan diri dari negara ini.

Terdahulu, seorang lagi peguam Najib iaitu Mardhiyah Siraj mencadangkan kepada saksi itu bahawa beliau telah membuat ‘perjanjian’ dengan pendakwaan untuk mengaitkan bekas Perdana Menteri itu supaya terlepas daripada pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Mardhiyah: Nampaknya anda hanya ingat perkara yang boleh mengaitkan Najib, termasuk akses langsung yang kononnya dimiliki Jho Low kepada Najib. Apabila perkara itu melibatkan anda secara langsung, anda boleh lupa pula.

Mohd Hazem: Saya tidak bersetuju.

Mardhiyah: Semalam anda setuju bahawa 1MDB dikendalikan seperti kedai kopi, yang bermakna anda telah banyak melanggar undang-undang syarikat. Saya katakan kepada anda bahawa anda berbohong kepada mahkamah. Saya katakan kepada anda bahawa anda berbohong untuk mengaitkan Najib dalam usaha melepaskan diri daripada pertuduhan.

Mohd Hazem menafikan semua cadangan yang dikemukakan oleh peguam itu.

Pembelaan mengakhiri pemeriksaan balas terhadap Mohd Hazem yang berlangsung selama 23 hari dan saksi itu telah memberi keterangan sejak 14 September 2020.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata pendakwaan akan memanggil seorang lagi saksi daripada pengurusan tertinggi 1MDB iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangannya (CFO) Azmi Tahir untuk memberi keterangan esok.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

BERITA BERKAIT
POPULAR