Kes rasuah Najib: Saksi mengaku bimbang keselamatan diri, keluarga

Saksi pendakwaan dalam kes rasuah Datuk Seri Najib Razak berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail, memberitahu beliau tidak dijanjikan apa-apa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah hari ini, bagaimanapun mengakui menjadi tidak keruan dan takut ketika dipanggil memberi keterangan oleh SPRM.

Ismee yang memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-13 di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, juga memberitahu beliau hanya bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarganya.

Memetik laporan Berita Harian, Ismee berkata beliau dipanggil dua kali oleh SPRM pada 2015 dan 2018 bagi memberi keterangan.

Ketika disoal peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri itu sama ada beliau diancam dikenakan tindakan undang-undang jenayah dan sivil oleh SPRM, Ismee menjawab: “Tidak.”

Hariharan: Anda setuju, berada dalam keadaan sangat tertekan ketika anda dipanggil memberi keterangan pada 2018?

Ismee: Bukan tertekan, tetapi lebih kepada ketidakpastiaan. Rasa macam-macam… rasa takut, sebab kita tidak tahu apa yang berlaku.

“Bukan ditekan oleh sesiapa, tetapi susah nak gambarkan perasaan saya ketika itu. Tidak tentu arah, tidak keruan,” katanya.

Hariharan: Setuju, tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadap anda sehingga sekarang?

Ismee: Tiada

Ismee bagaimanapun bersetuju beliau dikenakan larangan keluar negara dan disaman oleh 1MDB.

Hariharan: Setuju dengan saya, anda sangat tidak berpuas hati apabila mengetahui mengenai saman berkenaan?

Ismee: Ya

Hariharan: Anda menjadi sangat tidak berpuas hati kerana anda dijanjikan oleh SPRM sekiranya anda beri keterangan terhadap Najib dan bekerjasama, maka tidak akan ada tindakan saman, antara lainnya?

Ismee: Tiada apa-apa yang dijanjikan.

Hariharan: SPRM juga menjanjikan anda akan dilindungi sekiranya bekerjasama?

Ismee: Tiada, tetapi saya memang bimbangkan keselamatan saya dan keluarga.

“Bila semua ini berlaku, kita risau mengenai semua perkara. Mereka (SPRM) ada cakap saya tidak perlu paranoid tetapi tiada janji apa-apa daripada SPRM,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, 1MDB dan empat anak syarikatnya dilapor menggugurkan tujuh daripada 15 defendan dalam tuntutan mahkamah AS$8 bilion terhadap bekas pemegang jawatan syarikat berkenaan.

Selain Ismee, mereka yang digugurkan daripada saman itu ialah bekas pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram; bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, serta bekas ketua pegawai kewangan, Azmi Tahir.

1MDB memfailkan saman itu Mei lalu bersama 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (dahulunya 1MDB Global Investments Ltd), 1MDB Energy Holdings Ltd dan 1MDB Energy Ltd.

Ismee berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap Najib yang berdepan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib, 68, didakwa dengan empat tuduhan sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011.

Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat sama antara 31 Oktober 2012 hingga 20 November 2012, manakala tuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 tuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Januari depan.

BERITA BERKAIT
POPULAR