Kes rasuah Bung Mokhtar, saksi beritahu MOF lulus pelaburan RM150 juta Felcra

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluluskan pelaburan RM150 juta oleh Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad selepas meneliti tiga kertas cadangan pelaburan dikemukakan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra Berhad Mohd Azmy Abu Samah, 54, berkata Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif agensi berkenaan mengemukakan tiga kertas cadangan tersebut masing-masing melibatkan pelaburan RM50 juta, RM100 juta dan RM150 juta untuk pertimbangan kementerian, menurut laporan Bernama.

Mohd Azmy berkata pada asalnya Bung Moktar bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang ketika itu Menteri Kewangan II di Parlimen dan menyerahkan satu kertas cadangan berhubung pelaburan RM50 juta dalam unit amanah.

“Namun, Menteri Kewangan II bertanya kepada Bung Moktar mengapa tidak laburkan kesemuanya yang merujuk kepada dana pencen dalam Felcra,” kata saksi itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria, pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Menurut saksi pendakwaan ke-26 itu, beliau kemudian memberitahu Bung Moktar, ia terpulang kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang juga pemegang saham dan menasihati Bung Moktar supaya tidak melaburkan kesemuanya.

Saksi itu berkata MKD bagaimanapun meluluskan pelaburan RM150 juta melalui surat bertarikh pada 23 April 2015.

Disoal Mohd Sophian mengenai sama ada RM150 juta dalam pelaburan unit amanah Public Mutual dibentangkan dahulu kepada ahli lembaga pengarah Felcra, Mohd Azmy menjawab, “Tiada keperluan, namun sebarang pelaburan perlu dilaporkan kepada ahli lembaga pengarah”.

Bagaimanapun, saksi itu berkata pemindahan wang RM150 juta untuk pelaburan unit amanah itu tidak dilaporkan kepada ahli lembaga pengarah sebelum pemindahan wang dibuat.

“Wang RM150 juta itu dimasukkan ke dalam akaun unit amanah Public Mutual dan saya telah memaklumkan perkara itu secara bertulis kepada Bung Moktar,” kata Mohd Azmy.

Prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 6 April ini.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

BERITA BERKAIT
POPULAR