Kes positif mangsa banjir naik, sembilan negeri catat peningkatan

Empat jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir dalam tempoh 24 jam sehingga 3 petang tadi menjadikan keseluruhan 465 kes positif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, kes positif dalam kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kekal dengan 15 kes.

“Tiada pertambahan baharu kluster melibatkan mangsa banjir di PPS. Ia kekal pada satu kluster sahaja setakat ini,” katanya dalam kenyataan media berhubung situasi terkini Covid-19, hari ini.

Beliau juga memaklumkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 332 kes import yang turut melibatkan 40 rakyat asing dikesan, menjadikan kumulatifnya sebanyak 9,612 kes.

Manakala daripada 2,842 kes yang dilaporkan hari ini, 2,510 adalah kes tempatan yang turut membabitkan 99 rakyat asing, katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini 252 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 134 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak dua kluster baharu dikesan dalam tempoh itu menjadikan keseluruhannya 6,139 kluster dengan 5,939 telah ditamatkan dan 200 lagi masih aktif.

“Daripada 2,842 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 47 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 2,795 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Beliau turut memaklumkan seramai 2,862 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,698,613 kes atau 97.4 peratus daripada 2,769,886 kes kumulatif positif.

Sementara itu, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini, jangkitan Covid-19 di sembilan negeri naik semula, seiring dengan peningkatan kes harian daripada 2,690 semalam kepada 2,842 hari ini.

Kelantan mendahului negeri-negeri lain dengan jumlah peningkatan daripada 272 kes semalam kepada 397 hari ini, menjadikan kumulatif positif di negeri itu sebanyak 170,337 kes.

Daripada jumlah kumulatif positif itu, 165,451 pesakit telah sembuh, dan 1,250 lagi meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

Sehingga semalam, Kelantan merekodkan 3,239 kes aktif, termasuk 2,451 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah; 489 ditempatkan di PKRC; 277 dimasukkan ke hospital; dan 22 pesakit dirawat di ICU dengan 14 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Sabah pula merekodkan 258 kes baharu berbanding 161 semalam, dikuti Pulau Pinang (230 kes baharu, 160 semalam); Kuala Lumpur (206 kes baharu, 167 semalam); Negeri Sembilan (117 kes baharu, 71 semalam); Perlis (45 kes baharu, 12 semalam); Putrajaya (35 kes baharu, 13 semalam); Sarawak (24 kes baharu, 12 semalam); dan Labuan (lima kes baharu, dua semalam).

Walaupun turun, Selangor kekal menjadi negeri tertinggi mencatat kes harian dengan 514 kes baharu berbanding 673 semalam, menjadikan kumulatif kes positif di negeri itu sebanyak 789,337 kes, dengan sehingga semalam 768,411 pesakit telah sembuh, dan 9,969 kes kematian.

BERITA BERKAIT
POPULAR