Kes positif di Lembah Klang tertinggi, angka lepasi 5,000

Data 23 Jun 2021

Jumlah kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi kembali meningkat melebihi 5,000 apabila merekodkan 5,244  kes, berbanding 4,743 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan ringkas hari ini berkata Lembah Klang menjadi penyumbang jumlah kes tertinggi iaitu 2,532 jangkitan baharu, dengan angka di Selangor sahaja naik semula melebihi 2,000 kes.

Semalam kes baharu yang dicatatkan di bawah paras 5,000 apabila 4,743 jangkitan positif dikenal pasti dalam tempoh 24 jam.

Pada Isnin, Dr Noor Hisham memberi amaran kepada penduduk Lembah Klang supaya berwaspada kerana jumlah kes Covid-19 yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada atau sporadik, dan kes tidak bergejala, semakin membimbangkan di kawasan mereka.

Beliau berkata kes-kes sporadik ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, dalam komuniti, atau daripada saringan kes bergejala.

Katanya, apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik itu tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan betul.

Lembah Klang adalah sebuah kawasan yang terdiri daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pinggir bandarnya, serta meliputi kawasan bandar dan bandar raya di Selangor

POPULAR