Kes positif Covid-19 turun lagi

Penularan Covid-19 di seluruh negara menunjukkan tanda-tanda semakin kurang, apabila kes harian menurun empat hari berturut-turut, dengan semua negeri dan Wilayah Persekutuan, kecuali Selangor, mencatat kes tiga digit.

Dalam tempoh 24 jam semalam (Isnin, 4 April 2022), jangkitan harian turun lagi ke paras terendah sejak Februari lalu, apabila merekodkan 10,002 kes, termasuk 98 kes import, berbanding 12,380 pada Ahad.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 4,256,469 kes. Jumlah pesakit yang pulih juga meningkat kepada 4,041,723, setelah 23,302 pesakit sembuh semalam, sementara 179,619 kes masih aktif, dengan 175,339 pesakit menjalani kuarantin di rumah.

Sehingga kini seramai 3,622 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital; 236 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 140 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan; dan 422 individu ditempatkan di PKRC.

Statistik laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan lima negeri mencatat peningkatan jangkitan harian semalam, membabitkan Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Negeri Sembilan mencatat 586 kes baharu berbanding 412 pada Ahad, menjadikan kumulatif positif sebanyak 191,608 kes, dengan 182,047 pesakit telah pulih, 1,460 kematian dilaporkan, dan 8,101 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 7,936 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 24 ditempatkan di PKRC; 134 dimasukkan ke hospital; dan tujuh dirawat di ICU, dengan enam daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga 3 April, seramai 954,308 atau 84.5 peratus populasi di Negeri Sembilan telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19, 1,012,497 atau 89.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 649,880 atau 79.3 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Sementara Kedah pula mencatat 338 kes baharu, berbanding 330 pada Ahad, diikuti Pahang (306 kes, 287 Ahad); Terengganu (238 kes, 235 Ahad); dan Kelantan (190 kes, 184 Ahad).

Selangor, walaupun kes harian turun semalam, namun kekal tertinggi dalam kalangan negeri-negeri lain apabila mencatat 5,791 berbanding 7,613 kes pada Ahad.

Negeri itu kini mencatat kumulatif positif sebanyak 1,225,807 kes, dengan 1,120,105 pesakit telah pulih, 10,551 kematian, dan 95,151 kes masih aktif dengan 94,135 daripadanya menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 129 pesakit lagi ditempatkan di PKRC; 852 dimasukkan ke hospital; dan 35 dirawat di ICU, dengan 28 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 4 April 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR