
Seorang diplomat dan anak didakwa bawah Akta 39B.
Tahanan reman anak seorang bekas diplomat berhubung rampasan lebih 100 pokok ganja di Janda Baik, Pahang, sebelum ini, dilanjutkan lima hari lagi bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, anak lelaki bekas diplomat bergelar Datuk itu ditahan pada 23 Mei dan direman tujuh hari mulai 24 Mei hingga hari ini.
Hari ini, polis memohon kepada Mahkamah Majistret Bentong supaya tempoh tahanan reman dilanjutkan tujuh hari lagi.
Bagaimanapun, Majistret Shahrul Ekhsan Hasim, hanya membenarkan tanahan reman dilanjutkan selama lima hari sehingga 4 Jun, kata peguam Rahmat Hazlan seperti dilapor Malaymail.
Jumaat lalu, Mahkamah Majistret di Raub tidak melanjutkan tanahan reman bekas diplomat yang ditahan pada 21 Mei lalu setelah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Anak beranak itu disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, khususnya Seksyen 6B kerana dakwaan penanaman ganja dan Seksyen 39B kerana dakwaan mengedar ganja.
Seksyen 6B meliputi kesalahan menanam atau mengusahakan tumbuhan tertentu – daripada candu mentah, daun koka, jerami popi atau ganja – atau membenarkan penanaman atau baki tumbuhan yang ditanam itu pada harta yang dimiliki atau diduduki oleh pesalah.
Pada 24 Mei lalu, Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis menahan seorang bekas diplomat bergelar ‘Datuk’ selepas disyaki menanam dan memiliki ladang membabitkan 102 batang pokok ganja di Janda Baik, Pahang.
Bekas diplomat yang dikatakan pernah berkhidmat di kedutaan Malaysia di Asia Tenggara dan Timur Tengah, turut memprosesnya menjadi daun kering dan cecair untuk dijual kepada pelanggan tetap serta kenalan.
Ramli berkata kes itu dianggap rampasan pokok ganja terbesar dalam sejarah narkotik negara, dengan rampasan sebelum ini hanya melibatkan pokok ganja yang ditanam dalam pasu.
Kes itu juga disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.