
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda, didakwa bersubahat.
Perbicaraan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi dalam perbicaraan mengubah laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan sekali lagi berikutan peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah positif Covid-19.
Seorang lagi peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed berkata Shafee disahkan positif Covid-19 pada 31 Mei, yang menyebabkan perbicaraan hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dikosongkan kepada 14 Jun.
“Hakim mahu mendengar permohonan itu secepat mungkin jadi ada satu tarikh tambahan yang telah ditetapkan iaitu pada 14 Jun ini,” katanya.
Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan itu Isnin lalu, tetapi ditangguhkan ke hari ini selepas Shafee dilaporkan tidak sihat.
Permohonan untuk memanggil Arul Kanda memberi keterangan terhadap bekas perdana menteri itu dibuat mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Seksyen tersebut menyatakan bahawa dalam keadaan di mana dua atau lebih orang didakwa melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang sama ini, mahkamah boleh menghendaki seorang atau lebih daripada mereka untuk memberikan keterangan sebagai saksi untuk pendakwaan jika permohonan bertulis dibuat oleh pendakwa raya.
Arul Kanda juga menjadi tertuduh dalam kes itu kerana turut didakwa bersubahat dengan Najib untuk meminda laporan audit syarikat itu bagi mengelakkan bekas Perdana Menteri dikenakan tindakan undang-undang.
Pada 20 Mei lalu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan lisan agar Arul Kanda dipanggil memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata Arul Kanda mempunyai maklumat penting yang boleh mengukuhkan pendakwaan terhadap Najib.
Sri Ram berkata, Arul Kanda mempunyai maklumat yang boleh mempengaruhi kes pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri terutama berhubung mesyuarat yang diadakan pada 24 Februari 2016.
Pada prosiding sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa dalam keterangannya menyatakan pada mesyuarat penyelarasan yang diadakan pada Februari 2016 atas arahan Najib, terdapat empat perkara yang perlu digugurkan daripada laporan audit tersebut.
Antara empat perkara yang diarahkan Najib untuk digugurkan adalah mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho dalam mesyuarat 1MDB dan dua versi laporan kewangan 2014 syarikat itu yang bercanggah.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee mahukan pihak pendakwaan mengemukakan asas terhadap permohonan tersebut.
Peguam bela turut menyifatkan permohonan itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan pertama kali dalam sejarah.
Muhammad Shafee menyatakan terdapat kes dan prinsip undang-undang yang menyokong peruntukan permohonan berkenaan yang perlu dihujahkan di mahkamah.
Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.