Kes naik tiga hari berturut-turut

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (24 Mac 2022) naik lagi buat hari ketiga berturut-turut, ketika Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan besar kemungkinan varian Omicron sub-lineage BA.2 akan menjadi varian yang dominan di Malaysia.

Dalam tempoh itu sebanyak 24,316 jangkitan positif dilaporkan, berbanding 22,491 kes pada Rabu, menjadikan kumulatif positif meningkat kepada 4,079,242 kes – tempat ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Vietnam dan Indonesia.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penularan varian Omicron BA.2 atau dikenali juga sebagai ‘stealth Omicron’ di Malaysia semakin meningkat dan perlu diambil perhatian.

Menurutnya dalam tempoh 1 Mac hingga 17 Mac lalu varian itu meningkat kepada 27.1 peratus berbanding Januari dan Februari antara 0.9 peratus dan 2.7 peratus.

Sementara itu, sejak awal 2020 hingga semalam, seramai 3,796,975 pesakit telah sembuh, 34,664 kematian direkodkan dan 247,603 kes masih aktif, dengan seramai 239,934 pesakit diarah menjalani kuarantin di rumah kerana positif Covid-19 tetapi tidak bergejala atau tidak memerlukan rawatan intensif.

Seramai 1,329 pesakit lagi dimasukkan untuk rawatan dan pemerhatian di PKRC; 6,019 ditempatkan di hospital; dan 321 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 194 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Statistik laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan, sembilan negeri merekodkan peningkatan jangkitan harian semalam, dengan Selangor mencatat 11,692 kes berbanding 10,240 pada Rabu – tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif di Selangor meningkat kepada 1,130,236 kes, dengan 1,035,942 pesakit telah sembuh, 10,477 kematian dan 83,817 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 82,197 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 298 ditempatkan di PKRC; 1,271 dimasukkan ke hospital; dan 51 pesakit dirawat di ICU, dengan 28 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 4,807,684 atau 95.0 peratus daripada populasi di Selangor telah lengkap divaksinasi, 5,117,548 atau 100.9 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,923,529 atau 92.2 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Negeri dan Wilayah Persekutuan lain yang mencatat penigkatan jangkitan harian semalam ialah:

  • Kuala Lumpur – 2,425 kes (1,991 pada Rabu);
  • Pulau Pinang – 1,577 kes (1,299 Rabu);
  • Sarawak – 1,400 kes (1,252 Rabu);
  • Perak – 1,324 kes (1,213 Rabu);
  • Kedah – 1,252 kes (1,240 Rabu);
  • Melaka – 594 kes (573 Rabu);
  • Sabah – 436 kes (388 Rabu); dan
  • Putrajaya – 84 kes (69 Rabu).

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 24 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR