Kes naik semula, 293,651 pesakit aktif

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Selasa, 1 Mac 2022), kembali melonjak setelah turun empat hari berturut-turut, dengan 10 negeri merekodkan peningkatan kes harian.

Dalam tempoh itu, sebanyak 25,854 jangkitan baharu direkodkan, berbanding 23,100 kes pada Isnin, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Statistik laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan, kumulatif positif sejak awal 2020 lalu hingga semalam, mencecah 3,468,590 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia dan Filipina.

Daripada kumulatif kes positif itu, 3,142,112 pesakit dilaporkan telah sembuh, manakala 32,827 kematian direkodkan, sementara 293,651 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 282,283 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,452 ditempatkan di PKRC (3,467 pada Isnin); 7,542 dimasukkan ke hospital (7,881 pada Isnin); dan 374 pesakit lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) – 361 pada Isnin. Seramai 213 daripada pesakit di ICU memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 10 negeri yang mencatat peningkatan jangkitan harian semalam, Kedah merekodkan kes tertinggi dengan 2,801 kes, berbanding 2,782 kes pada Isnin, diikuti Pulau Pinang (2,377 kes baharu, 1,728 Isnin); dan Negeri Sembilan (1,808 kes baharu, 1,032 Isnin).

Kuala Lumpur pula merekodkan 1,751 kes baharu berbanding 968 pada Isnin; Kelantan (1,518 kes baharu, 1,200 Isnin); Pahang (1,269 kes baharu, 1,147 Isnin); Sarawak (1,248 kes baharu, 442 Isnin); Perlis (300 kes baharu, 195 Isnin); Labuan (230 kes baharu, 173 Isnin); dan Putrajaya (136 kes baharu, 128 pada Isnin).

Sehingga semalam, Kedah merekodkan kumulatif positif sebanyak 234,996 kes, dengan 204,350 pesakit telah sembuh, 2,281 kes kematian, dan 28,365 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 27,663 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 229 ditempatkan di PKRC; 432 dimasukkan ke hospital; dan 41 pesakit dirawat di ICU, dengan 26 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Isnin lalu, seramai 1,579,323 atau 72.0 peratus populasi di Kedah telah lengkap divaksinasi, 1,640,898 atau 74.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 672,057 atau 43.2 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Sementara itu, walaupun kes harian semalam turun daripada 6,098 kes pada Isnin, kepada 5,969 kes, Selangor masih kekal menjadi negeri ‘panas’ bagi penularan Covid-19.

Sehingga semalam, Selangor merekodkan kumulatif positif sebanyak 955,603 kes, dengan 869,094 pesakit telah sembuh, 10,198 kes kematian dan 76,311 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 74,775 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 431 ditempatkan di PKRC; 1,062 dimasukkan ke hospital; dan 43 pesakit dirawat di ICU dengan 28 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 1 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR