Kes naik sebab saringan berfokus susulan PKPD 2 negeri: KP Kesihatan

July 8, 2021 · Isu semasa

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan peningkatan kes baharu Covid-19, khususnya di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, adalah disebabkan aktiviti pengesanan dan saringan yang lebih mudah, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKP) di 48 mukim.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata susulan pelaksanaan PKPD di 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur, aktiviti-aktiviti kesihatan awam dapat dijalankan dengan lebih bertumpu di sesuatu kawasan.

Katanya, aktiviti pengesanan kontak rapat dan saringan kesihatan khususnya ke atas individu yang bergejala telah dilaksanakan dengan lebih giat bagi pengesanan awal kes Covid-19.

“Ini membolehkan pengasingan segera dijalankan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti.

“Selain itu, KKM juga menjalankan saringan ke atas 10 peratus dari penduduk yang tinggal di kawasan PKPD tersebut dan keutamaan diberi kepada mereka yang berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan daripada pelaksanaan aktiviti kesihatan awam itu, KKM menjangkakan jumlah kes harian Covid-19 akan terus meningkat.

Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD selama 14 hari bermula 3 Julai 2021 hingga 16 Julai ini dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata sejak 1 Julai hingga 7 Julai lalu Selangor menyumbang sebanyak 42.02 peratus daripada 47,811 kes, berbanding hanya 38.33 peratus daripada 40,973 kes bagi tempoh 24 Jun 2021 hingga 30 Jun 2021.

“Manakala, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyumbang sebanyak 13.01 peratus pada tempoh 1 Julai 2021 hingga 7 Julai 2021 berbanding 12.29 peratus bagi tempoh 24 Jun 2021 hingga 30 Jun 2021.

“PKPD yang dilaksanakan adalah berdasarkan penilaian risiko di kawasan tersebut. Hasil saringan bersasar ini menunjukkan peningkatan kes yang ketara di negeri-negeri yang berada di bawah PKPD tersebut,” katanya.

Sehubungan itu katanya, bagi menangani keadaan kritikal berikutan peningkatan kes yang mendadak, KKM telah mengambil beberapa tindakan seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Selain itu, katanya, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob pula telah meluluskan agar KKM meneruskan aktiviti penyumberluaran (outsourcing) ke hospital dan makmal swasta bagi membantu meningkatkan kapasiti KKM menangani Covid-19.

Antara tindakan penyumberluaran (outsourcing) yang telah dilakukan adalah:

  • Kerajaan telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk penyumberluaran (outsourcing) perkhidmatan perubatan bertujuan mengurangkan masa menunggu pesakit khususnya yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal (urgent / semi-urgent) seperti rawatan jantung dan kanser sebagai langkah kesiapsiagaan hospital menghadapi wabak Covid-19. Ini akan memberi lebih banyak ruang dalam hospital KKM untuk menangani kes Covid-19 yang perlu dimasukkan ke hospital, dan pada masa yang sama memastikan rawatan kepada kes-kes bukan Covid-19 dapat terus diberikan;
  • Pada tahun 2020, sebanyak RM 11 juta telah dibelanjakan oleh pihak kerajaan bagi aktiviti penyumberluaran (outsourcing) perkhidmatan perubatan. Aktiviti penyumberluaran (outsourcing) tersebut telah melibatkan 31 hospital swasta di mana 3,741 pembedahan dan prosedur telah berjaya dilaksanakan;
  • Aktiviti penyumberluaran (outsourcing) diteruskan lagi pada tahun 2021 dan peruntukan sebanyak RM 39,087,983 telah diagihkan kepada 14 buah negeri untuk tujuan yang sama. Setakat ini sebanyak 72 buah hospital swasta terlibat di dalam aktiviti penyumberluaran di seluruh negara.;
  • Susulan daripada peningkatan kes yang mendadak di kawasan Lembah Klang, Hospital Kuala Lumpur telah mempertingkatkan aktiviti penyumberluaran (outsourcing) kepada hospital-hospital swasta yang berdekatan. Sejak 6 Julai 2021, seramai 25 pesakit telah dihantar ke hospital-hospital swasta yang dikenal pasti dan anggaran seramai empat pesakit akan dihantar setiap hari. Jumlah pesakit yang akan dihantar bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta dalam jangka masa enam (6) bulan dianggarkan seramai 993 orang yang melibatkan peruntukan berjumlah RM 18 juta; dan
  • Selain itu, perkhidmatan makmal juga telah bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menambah kapasiti ujian Covid-19. Antara agensi-agensi yang terlibat adalah Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), universiti-universiti awam dan swasta, serta makmal-makmal swasta yang diiktiraf.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, kapasiti ujian RT-PCR bagi semua makmal yang terlibat adalah sebanyak 116,803 ujian sehari.

“Terkini, sebanyak 92 buah makmal yang menjalankan ujian RT-PCR di mana 24 dari makmal hospital kerajaan, tiga (3) makmal institusi, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), empat (4) Makmal Kesihatan Awam (MKA), (2) makmal di Klinik Kesihatan, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), 13 makmal di universiti, dua (2) makmal dari Kementerian Pertahanan, satu (1) makmal MOSTI dan 41 makmal swasta,” katanya.

Berita berkaitan
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024· Politik
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024· Politik
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
BNM dijangka naikkan OPR 25 mata asas lagi bulan depan
October 21, 2022
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok