
Sehingga semalam (7 Februari 2023) hanya tinggal empat pesakit Covid-19 menerima rawatan di unit rawatan rapi.
Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan walaupun sejak kebelakangan ini jumlah kes Covid-19 semakin meningkat kepada bilangan yang hampir sama dengan ketika Ogos dan September tahun lalu, tetapi situasinya jauh berbeza.
Ini kerana kadar vaksinasi dan pemberian dos penggalak yang meningkat merupakan faktor penting menyumbang kepada situasi semasa yang lebih baik, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong.
Tambahan pula, katanya, KKM telah memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak berusia lima hingga 12 tahun sejak 3 Februari lalu.
Beliau memberi contoh kes hari ini, 11 Februari 2022, di mana bilangan jangkitan melonjak kepada 20,939 kes.
“Pada masa sama, data terkini menunjukkan hanya 1,637 kes yang dimasukkan ke dalam wad; 158 kes di unit rawatan rapi (ICU); dan kurang daripada 10 kes kematian dilaporkan.
“Sebagai perbandingan bagi bilangan kes Covid-19 yang dilaporkan ketika trend kes positif menunjukkan peningkatan pada 11 Ogos 2021 iaitu 20,780 kes, terdapat sebanyak 2,928 kes dimasukkan ke wad; 1,547 kes di ICU; dan 332 kes kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Chong yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Pantas Covid-19 Kebangsaan berkata, pasukan itu telah mula meneliti situasi dari segi kapasiti katil Covid-19 dan melakukan pemantauan individu di rumah.
Berdasarkan kepada penelitian itu, katanya, situasi semasa kapasiti katil Covid-19 adalah mencukupi dan mampu menampung jumlah kes semasa kerana bilangan kes dalam kalangan kategori 3, 4, dan 5 adalah kurang daripada satu peratus.
“Namun, bagi individu yang dipantau di rumah melalui Pusat Penilaian Covid-19 maya (VCAC), ia semakin meningkat dengan mendadak.
“Bilangan individu yang dipantau melalui VCAC pada masa ini ialah sebanyak 100,000 orang berbanding 30,000 pada tiga minggu lepas,” katanya.
Menurutnya, mengambil kira langkah-langkah yang telah diambil sepanjang enam bulan lalu dalam memperkukuhkan VCAC, KKM kini mempunyai keupayaan meningkatkan kapasiti untuk memantau individu yang menjalani isolasi di rumah.
Beliau berkata, KKM akan meningkatkan kapasiti pemantauan kepada 200,000 individu menjelang minggu depan.
“Walaupun vaksinasi bukan merupakan jalan keluar utama daripada krisis ini, ia bagaimanapun dapat membantu mengelak jangkitan lebih teruk dan mengurangkan impak krisis.
“Semua negeri telah diarah untuk meningkatkan vaksinasi dengan memberi fokus kepada murid-murid sekolah dan pemberian dos penggalak,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Chong menyeru penduduk Malaysia untuk tampil dan mendapatkan dos penggalak di PPV terdekat secepat mungkin.
“Saya juga memohon ibu bapa dan penjaga supaya segera mempersetujui pemberian vaksin kanak-kanak di sekolah atau membuat tempahan janji temu melalui MySejahtera di PPV yang dikenal pasti bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang,” katanya.