Kes naik kepada 2,897

Jumlah jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik 140 kes berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 2,897 kes baharu dikesan berbanding 2,757 kes semalam.

Angka itu, katanya, menjadikan kumulatif positif sebanyak 2,746,833 kes, dengan sehingga semalam seramai 2,669,650 pesakit telah sembuh dan 31,369 kematian dilaporkan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalamuntuk seluruh negara adalah pada nilai 0.93, naik berbanding 0.90 pada jangkaan kelmarin.

Hanya Terengganu kekal mencatat nilai Rt sebbanyak 1.00, manakala neger-negeri lain antara 0.73 dan 0.97.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Sehingga semalam, 42,917 kes masih aktif, termasuk seramai 36,052 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,071 ditempatkan di PKRC; 3,497 dimasukkan ke hospital; dan 297 pesakit dirawat di ICU, dengan 169 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR