Kes meningkat di sembilan negeri

Setelah merekodkan penurunan jangkitan lima hari berturut-turut bermula 7 Januari lalu, Selangor hari ini mendahului senarai sembilan negeri yang mencatat peningkatan kes baharu.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, negeri itu merekodkan 935 jangkitan baharu, naik 273 kes, berbanding 662 kes semalam, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini.

Jumlah itu menjadikan kes positif terkumpul di Selangor sebanyak 795,947 kes, termasuk 2,760 kes import, manakala sehingga semalam 774,589 pesakit telah sembuh, dan 10,005 kematian dicatatkan.

Sehingga semalam Selangor mencatat 10,418 kes aktif, termasuk 8,721 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 894 ditempatkan di PKRC; 763 dimasukkan ke hospital; dan 40 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 14 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 94.4 peratus atau 4,776,266 populasi keseluruhan di Selangor telah lengkap divaksinasi, manakala 95.6 peratus atau 4,845,497 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 29.9 peratus atau 1,955,694 peratus lagi menerima suntikan dos penggalak.

Bagi lapan negeri lain, Johor merekodkan 417 kes baharu berbanding 318 semalam, diikuti Kuala Lumpur (319 kes baharu, 290 semalam); Sabah (280 kes baharu, 253 semalam); Pahang (210 kes baharu, 178 semalam); Perak (141 kes baharu, 113 semalam); Sarawak (23 kes baharu, 22 semalam); Perlis (13 kes baharu, 12 semalam); dan Labuan (sembilan kes baharu, enam semalam).

Sementara ktu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 303 lagi kes import dikesan hari ini dengan 224 daripadanya adalah rakyat Malaysia dan 79 bukan warganegara.

Sebanyak 2,895 kes lagi adalah penularan tempatan yang turut melibatkan 142 rakyat asing, katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam tempoh itu juga, katanya seramai 3,200 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,723,599 kes atau 97.4 peratus daripada kumulatif positif.

Beliau berkata sehingga kini seramai 215 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 105 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 3,198 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 39 kes atau 1.2 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,159 kes (98.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Sebanyak lapan lagi kluster baharu turut dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,184 kluster dengan 6,005 telah ditamatkan dan 179 lagi masih aktif,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR