Kes melonjak kembali melepasi 20,000

Jumlah kes positif Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melonjak semula melepasi 20,000, dengan semua negeri, kecuali Selangor, Sarawak, Perak, Kedah, Kuala Lumpur, dan Putrajaya, mencatatkan peningkatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 20,780 jangkitan baharu dikesan dalam tempoh 24 jam itu menjadikan kumulatif 1,320,547 kes.

Pada 6 Ogos lalu negara merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 20,889 kes.

Menurut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini 10 negeri mencatatkan peningkatan dengan Pulau Pinang merekodkan jumlah lonjakan tertinggi daripada 743 kes semalam kepada 1,385 jangkitan hari ini, diikuti Johor daripada 1,344 kes semalam kepada 1,693 kes hari ini.

Negeri lain yang merekodkan peningkatan ialah Sabah sebanyak 1,514 berbanding 1,283 kes semalam; Perlis – 29 kes (24 semalam); Pahang – 585 kes (539 semalam); Negeri Sembilan – 1,015 kes (564 semalam); Melaka – 636 kes (578 semalam); Kelantan – 1,284 kes (1,030 semalam); Labuan – 3 kes (satu semalam); dan Terengganu – 613 kes (378 semalam).

Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 6,921 kes turun daripada 7,338 yang dicatatkan semalam, manakala Kuala Lumpur pula merekodkan 2,065 kes berbanding 2,374 kes semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR