Kes melonjak di semua negeri kecuali Pulau Pinang, Melaka

Hampir semua negeri, kecuali Pulau Pinang dan Melaka, merekodkan peningkatan jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Pulau Pinang hari ini mencatat 1,010 kes positif baharu, berbanding 1,023 kes semalam, manakala Melaka (347 kes baharu, 387 kes semalam), menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini.

Enam negeri dan Wilayah Persekutuan mencatat peningkatan dengan rekod empat angka melibatkan Selangor, Sabah, Johor, Kedah, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Manakala lapan lagi negeri merekodkan kes tiga dan dua angka tetapi turut meningkat iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Putrajaya, Sarawak, Perlis, dan Labuan.

Selangor merekodkan jangkitan tertinggi sebanyak 3,582 kes, berbanding 3,031 semalam, manakala Sabah (3,333 kes baharu, 2,069 semalam).

Johor yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac depan, merekodkan peningkatan jangkitan dua hari berturut-turut daripada 1,680 kes semalam kepada 2,321 kes hari ini.

Setakat hari ini, negeri itu merekodkan kumulatif positif sebanyak 271,073 kes, dengan sehingga semalam 252,667 pesakit telah sembuh, 3,929 kes kematian dan 12,156 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 10,698 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 645 ditempatkan di PKRC; 792 dimasukkan ke hospital; dan 21 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 15 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, lebih 7.63 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi di Johor, dengan 3,054,473 atau 80.8 peratus telah lengkap divaksinasi, dan 3,085,101 atau 81.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, seramai 1,500,599 atau 55.3 peratus individu dewasa pula menerima suntikan dos penggalak.

Terdahulu hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Johor adalah pada 26 Februari 2022, hari mengundi awal pada 8 Mac 2022, manakala pengundian penuh pada 12 Mac 2022.

Menurut SPR, terdapat 2,597,742 pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis dan pasangan serta 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara, layak mengundi pada PRN Johor kali ini.

Sebanyak 53 daripada 1,210 kluster yang dikesan di Johor masih aktif, melibatkan 21 kluster tempat kerja; pendidikan (20); kumpulan berisiko tinggi (enam); komuniti (tiga); keagamaan (dua); dan import (satu).

Statistik laman sesawang Covidnow menunjukkan dalam tempoh minggu ini, 30.1 peratus jangkitan positif di Johor melibatkan individu berusia 18 hingga 29 tahun; 22.1 peratus (30-39 tahun); dan 11.3 peratus (40-49 tahun).

Manakala, 8.9 peratus lagi melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun; 8.3 peratus (12-17 tahun); 7.1 peratus (50-59 tahun); 4.8 peratus (0-4 tahun); 4.6 peratus (60-69 tahun); 2.1 peratus (70-79 tahun); dan 0.9 peratus (80 tahun ke atas).

BERITA BERKAIT
POPULAR