Kes LHDN anak Najib, Mahkamah rayuan tangguh pendengaran 15 Disember

Pendengaran permohonan kerajaan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu berhubung tunggakan cukai melibatkan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM10 juta ditangguhkan ke 15 Disember depan.

Keputusan penangguhan itu diputuskan Mahkamah Rayuan yang menolak langkah mengeluarkan ringkasan penghakiman dalam saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Nooryana Najwa Najib, kata peguamnya dipetik portal The Edge.

Menurut laporan portal itu, tiada alasan diberikan berhubung penangguhan tersebut.

Nooryana, anak kedua Najib dari perkahwinannya dengan Rosmah Mansor, dinamakan sebagai defendan dalam saman difailkan LHDN pada Julai 2019 selepas beliau gagal menyerahkan borang cukai pendapatan bagi penilaian dari 2011 hingga 2017.

LHDN menuntut RM10,335,292.36 dengan kadar faedah tahunan sebanyak 5% dari tarikh penghakiman hingga tarikh realisasi, kos, dan pelepasan seperti yang dilihat munasabah oleh mahkamah.

Pada 26 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan LHDN bagi ringkasan penghakiman.

Ringkasan penghakiman adalah keputusan mahkamah tanpa pendengaran kenyataan daripada saksi.

Mahkamah turut mendapati sijil yang ditunjukkan oleh kerajaan sebagai bukti jumlah tanggungan cukai dan kebolehbayaran tidak ditandatangani oleh ketua pengarah LHDN seperti yang disyaratkan di bawah Seksyen 142 Akta Cukai Pendapatan 1967.

BERITA BERKAIT
POPULAR