[KEMAS KINI] Kes kematian tertinggi, 45 kluster baharu

Angka kematian akibat Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melonjak ke paras tertinggi apabila merekodkan 318 pesakit meninggal dunia, termasuk 62 bukan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya memaklumkan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan pesakit meninggal dunia sejak awal tahun lalu meningkat kepada 11,691 kes.

Beliau berkata daripada jumlah kematian hari ini, 93 kes meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital iaitu dikategorikan sebagai Brought In Dead (BID), yang turut membabitkan 36 individu bukan warganegara Malaysia.

Katanya dalam tempoh sama 17,687 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif kepada 1,093,503 kes berbanding jumlah kes positif sejak tahun lalu sebanyak 1,342,215 kes.

“Sebanyak 237,021 kes masih aktif, manakala 1,059 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 543 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Terdahulu beliau memaklumkan jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melonjak lagi ke paras tertinggi iaitu sebanyak 21,668 kes. Jumlah itu termasuk, 3,316 individu bukan warganegara Malaysia.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan daripada jumlah kes harian hari ini, sebanyak 440 kes atau 2.1 peratus terdiri daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala sebanyak 21,228 kes (97.9 peratus) lagi adalah daripada kategori 1 dan 2.

“Secara keseluruhan, hanya 2,720 kes atau 12.6 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini telah lengkap di vaksinasi iaitu yang telah lengkap dua minggu selepas dos kedua vaksinasi,” katanya.

Mengenai kadar kebolehjangkitan beliau berkata, berdasarkan data terkini pada 11 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.06.

“Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis (nilai RT 1.40) diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kelantan (masing-masing nilai RT 1.23), serta Sabah dan Pulau Pinang (nilai RT 1.16). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan 45 kluster baharu dikesan dalam tempoh itu menjadikan keseluruhannya 4,079 kluster dengan 1,281 masih aktif.

Daripada semua jumlah itu, 30 kluster membabitkan tempat kerja, komuniti (11) dan masing-masing dua kluster kumpulan berisiko tinggi di Kelantan dan Perak, dan kluster pendidikan tinggi di Selangor dan Johor.

Sembilan daripada kluster tempat kerja dilaporkan di Selangor; Johor (enam) masing-masing empat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur; Kelantan (tiga); Sarawak (dua); dan masing-masing satu di Pahang dan Terengganu.

Sementara itu Kelantan turut merekodkan tiga kluster komuniti; masing-masing dua di Sarawak dan Pahang; dan masing-masing satu di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah.

BERITA BERKAIT
POPULAR