[KEMAS KINI] Selangor rekod kematian tertinggi hari ini

Jumlah kematian akibat Covid-19 hari ini meningkat kepada 101 kes, membabitkan 98 warganegara dan tiga bukan warganegara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Selangor merekodkan kematian tertinggi dengan 50 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kes) dan Johor (10 kes).

Terdahulu beliau memaklumkan jumlah kes positif Covid-19 harian di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, meningkat semula melepasi angka 5,000 berbanding semalam sebanyak 4,949 kes.

Katanya negara hari ini mencatat 5,419 kes baharu menjadikan kumulatif sebanyak 667,876 kes.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata 6,831 kes sembuh dilaporkan dalam tempoh berkenaan menjadikan kumulatif kes sembuh kepada 593,695.

“Sebanyak 70,112 kes masih aktif, dengan 922 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 450 yang memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah kluster yang dikesan setakat ini juga bertambah kepada 2,513 manakala 1,735 kluster ditamatkan.

“Hari ini 19 kluster baharu dikesan menjadikan 778 kluster masih aktif,” katanya.

Daripada 19 kluster baharu yang dikesan itu enam dilaporkan di Selangor membabitkan tempat kerja; Sarawak (lima – tempat kerja dan komuniti); Johor (dua – tempat kerja); Kuala Lumpur (tiga – tempat kerja, komuniti dan Kumpulan Berisiko Tinggi); dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Kedah serta Melaka membabitkan tempat kerja.

Data 15 Jun 2021

BERITA BERKAIT
POPULAR