Kes kematian luar hospital meningkat di Lembah Klang: KKM

Dua kakitangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh sedang melakukan ujian pengesanan Covid-19 terhadap mayat yang dibawa ke hospital.

Jumlah kes kematian sama ada di rumah atau di tempat lain yang juga diistilahkan sebagai ‘Brought In Dead (BID)’, kecuali di mana-mana pusat kesihatan, sejak kebelakangan ini semakin meningkat, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, KKM tidak menjelaskan secara lanjut sama ada kes kematian berkenaan berkaitan jangkitan Covid-19 atau berpunca daripada sebab lain.

“Akhir-akhir ini, kes-kes BID di Lembah Klang semakin meningkat,” kata KKM dalam kenyataan.

Dalam kenyataan itu KMM memuat naik gambar dua kakitangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh sedang melakukan ujian pengesanan Covid-19 terhadap mayat yang dibawa ke hospital.

Kebiasaannya pihak hospital akan melakukan tiga jenis bedah siasat ke atas mayat yang dibawa ke hospital iaitu membabitkan pemeriksaan luaran bertujuan mendokumentasikan kecederaan si mati.

Mengikut prosedur itu pegawai perubatan kerajaan akan melakukan pemeriksaan terperinci ke atas mayat, termasuk pakaian, keadaan tubuh, perubahan luaran, penyakit dan tanda kecederaan.

Jika sebab kematian dikenal pasti dengan cara itu, maka bedah siasat melalui pemeriksaan dalaman tidak perlu dilakukan, termasuk membuka tempurung kepala, rongga dada, abdomen, pelvis dan lain-lain anggota badan bila diperlukan.

Pengambilan spesimen iaitu mengambil cecair badan untuk dianalisis serta ujian lain, termasuk pemeriksaan radiologi, kaji kuman, kaji tisu dan fotografi forensik, akan juga dijalankan.

POPULAR