[KEMAS KINI] Kluster komuniti baharu meningkat, kematian turut naik

Jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi kembali memperlihatkan peningkatan apabila 84 kes direkodkan, berbanding 62 kematian semalam.

Ia membabitkan 77 warganegara dan tujuh bukan warga negara.

Selangor terus menjadi negeri tertinggi kes kematian apabila mencatatkan 46 kes, seiring dengan peningkatan jumlah jangkitan baharu yang dilaporkan dalam tempoh itu sebanyak 2,885 kes.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan dalam tempoh itu 6,988 kes baharu dilaporkan, termasuk lima kes import, membabitkan dua warganegara dan tiga bukan warganegara.

Daripada jumlah itu, katanya, 6,983 adalah kes tempatan membabitkan 5,271 warganegara dan 1,712 bukan warganegara.

“Sebanyak 65,453 kes jangkitan Covid-19 masih aktif, dengan 917 pesakit dirawat di unit rawatan rapi. Daripada jumlah itu 445 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata 21 kluster baharu juga dilaporkan dalam tempoh itu menjadikan keseluruhan sebanyak 2,865 dengan 1,978 kluster telah ditamatkan dan 887 lagi masih aktif.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, jangkitan di dalam komuniti memperlihatkan peningkatan apabila sembilan kluster kategori itu dikesan.

Bagaimanapun, kluster tempat kerja kekal menjadi penyumbang jumlah jangkitan harian apabila 11 kluster dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Kelantan merekodkan lima kluster baharu komuniti membabitkan 48 pesakit; diikuti masing-masing satu di Titiwangsa, Kuala Lumpur (72 pesakit); Kota Belud, Sabah (27 pesakit); Pendang, Kedah (31 pesakit); dan Tangkak, Johor (18 pesakit).

Pulau Pinang merekodkan tiga kluster tempat kerja dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Sebanyak tiga kluster tempat kerja masing-masing turut dilaporkan di Kedah dan Pulau Pinang; masing-masing dua kluster di Selangor dan Perak; dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata antara 23 Jun hingga semalam (30 Jun 2021), sebanyak 28 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 telah dilaporkan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes adalah Variant of Concern (VOC) manakala tiga kes lagi adalah Variant of Interest (VOI) yang membabitkan 18 kes varian Delta; varian Beta (lima); varian Kappa (tiga); dan varian Alpha (dua).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 217 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 198 kes adalah VOC manakala 19 kes adalah VOI,” katanya.

Negeri yang melaporkan VOC dan VOI ialah Pahang, Kuala Lumpur, Sabah, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Terengganu, dan Selangor.

BERITA BERKAIT
POPULAR