[KEMAS KINI] Kematian meningkat, kluster komuniti pula lebih tinggi

Semua negeri dan wilayah, kecuali Perlis dan Putrajaya merekodkan kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, dengan Selangor menjadi negeri tertinggi apabila mencatatkan 43 pesakit meninggal dunia.

Jumlah kematian akibat Covid-19 dalam tempoh itu juga melonjak kepada 107 kes, menjadikan keseluruhannya 5,108 kematian sejak kes mula dikesan pada Mac tahun lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah kematian itu 99 membabitkan warganegara, dan lapan bukan warganegara, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 5,298 pesakit juga sembuh sepenuhnya menjadikan keseluruhan kes sembuh sebanyak 677,751 pesakit atau 90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan dijangkiti sebanyak 745,703.

Katanya setakat ini 62,844 kes masih aktif dengan 905 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, 455 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga berkata dalam tempoh itu 27 kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 2,821 kluster dengan 1,934 sudah ditamatkan dan 887 lagi masih aktif.

Tiga belas daripada jumlah itu membabitkan kluster komuniti, tempat kerja (12), dan masing-masing satu bagi kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan swasta.

Kluster komuniti itu dikesan di Kelantan, Pahang, Selangor, Johor, Perak, Sabah, Sarawak dan Putrajaya membabitkan 222 jangkitan, manakala kluster tempat kerja melibatkan 409 jangkitan, dan 38 kes kumpulan berisiko tinggi serta institusi pengajian.

BERITA BERKAIT
POPULAR