[KEMAS KINI] Kes kematian hampiri 5,000, 14 kluster baharu

Data 26 Jun 2021

Jumlah kematian akibat virus Covid-19 di seluruh negara sejak pandemik itu melanda Mac tahun lalu semakin menghampiri angka 5,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 81 kes kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,884 kes.

Beliau berkata dalam tempoh itu 5,193 pesakit juga dilaporkan sembuh menjadikan keseluruhan yang sembuh sebanyak 662,932 kes.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, sebanyak 866 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dengan 435 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dalam tempoh itu sebanyak 14 kluster baharu turut dikesan membabitkan sembilan jangkitan di tempat kerja. Sebanyak 868 kluster masih aktif dan 1,887 kluster telah ditamatkan,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah itu, Selangor merekodkan tiga kluster baharu tempat kerja membabitkan 52 jangkitan dan 21 kes lagi kluster pusat tahanan di Gombak.

Di Johor, dua kluster baharu tempat kerja dikesan membabitkan 16 individu; dan Kelantan (dua – tempat kerja dan komuniti).

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan satu kluster tempat kerja, tetapi membabitkan jangkitan paling tinggi iaitu seramai 152 individu di Tapak Bina Pintasan Segambut.

Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak, dan Perak masing-masing mencatatkan satu kluster baharu tempat kerja, pusat tahanan, komuniti dan kumpulan berisiko tinggi.

Data 26 Jun 2021

POPULAR