Kes kanak-kanak dijangkiti Covid-19 meningkat, ibu bapa dinasihati patuh SOP

Trend jangkitan Covid-19 dikalangan kanak-kanak menunjukkan peningkatan yang membimbangkan selepas seramai 62 ribu kes sudah direkodkan melibatkan kumpulan berisiko tinggi tersebut dan ibu bapa dinasihatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak mereka dengan sentiasa mematuhi SOP dan tidak membawa anak mereka keluar bersama ke kawasan sesak yang mempunyai ramai orang.

“Ibu bapa perlu patuh SOP iaitu mereka perlu melindungi golongan berisiko tinggi yang saya sebutkan tadi antaranya kanak-kanak,” katanya semasa sidang media hari ini.

Setakat ini, jumlah jangkitan melibatkan kanak-kanak berusia 0 hingga 4 tahun adalah sebanyak 19,851, 5 hingga 6 tahun 8,237 kes, 7 hingga 12 tahun 26,851 kes dan 13 hingga 17 tahun sebanyak 27,402 kes.

Untuk rekod, golongan kanak-kanak adalah mereka yang berusia bawah 15 tahun yang memerlukan penjagaan ibu bapa.

Menurut Dr Adham, tindakan boleh diambil terhadap ibu bapa yang ingkar SOP dan mendedahkan anak mereka kepada jangkitan Covid-19.

“Akta 342, kita tak ada klausa untuk beri kompaun kepada ibu bapa tetapi SOP yang sudah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diwartakan.

“Ibu bapa yang ingkar atau masih mendedahkan golongan berisiko tinggi ini kepada wabak Covid-19 kita boleh buka kertas siasatan untuk diadili,” katanya lagi.

Berbanding pada tahun 2020, Dr Adham berkata peningkatan kes jangkitan dikalangan kanak-kanak semakin tinggi pada 2021 dan ia semakin menular dikalangan golongan orang muda ketika ini.

“Kebanyakkan kes-kes yang dilaporkan sebelum tahun 2021 adalah mereka yang dijangkiti dikalangan golongan berusia 60 tahun ke atas, tetapi sejak tahun 2021 awal lebih banyak kes-kes yang telah pun menular dan menjangkiti golongan muda.

“Kebanyakkan kes-kes yang menjangkiti golongan muda iaitu bawah 20 tahun mereka dijangkiti pada kategori 1, 2 dan 3. Mereka (golongan muda) tidak ada setakat ini dilaporkan pada tahap 4, 5 yang perlukan rawatan ICU ketika ini,” ujarnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR