
Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 21 Januari 2022. - Sumber Jabatan Kesihatan Negeri
Jumlah warga Malaysia dan rakyat asing yang membawa masuk virus Covid-19 ke negara ini semakin meningkat sejak pintu sempadan dibuka semula kepada keluar masuk pengembara asing dan rakyat tempatan.
Sehingga kini, jumlah terkumpul kes import Covid-19 sejak awal 2020 meningkat kepada 14,956 kes, dengan majoritinya melibatkan rakyat tempatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 489 kes import baharu dikesan melibatkan warga tempatan dan rakyat asing.
Menurutnya daripada jumlah itu 388 kes import positif Covid-19 melibatkan warga tempatan dan 101 rakyat asing.
Untuk rekod, kes import mula melonjak melebihi 100 kes sehari bermula 22 Disember 2021, dengan jumlah tertinggi dicatatkan semalam sebanyak 522 kes melibatkan 426 warga tempatan dan 96 rakyat asing.
Daripada jumlah keseluruhan kes import, Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 4,855 kes, diikuti Selangor (3,450); Johor (1,204); Negeri Sembilan (822); Kedah (621); Perak (553); Kelantan (533); Melaka (438); Pulau Pinang (387); Sarawak (330); Terengganu (318); Pahang (310); Sabah (303); Putrajaya (151); Labuan (98); dan Perlis (94).
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan dalam tempoh 24 jam itu sebanyak 12 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan namun maklumat lanjut mengenainya akan dimuat naik dalam laman sesawang Covidnow pagi esok.
“Sehingga kini seramai 149 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 71 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Daripada 4,046 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 32 kes atau 0.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 4,014 kes (99.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini, sembilan negeri merekodkan peningkatan kes harian, dengan Selangor mencatat kes tertinggi.
Dalam tempoh itu, Selangor merekodkan 964 kes baharu berbanding 894 semalam, meningkat empat hari berturut-turut, menjadikan kumulatif postif sejak awal 2020 lalu kepada 803,624 kes.
Menurut statistik laman sesawang Covidnow kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), sehingga semalam 782,092 pesakit Covid-19 di Selangor telah sembuh, 10,031 kes kematian dan 10,537 kes masih aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu, 8,896 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 917 ditempatkan di PKRC; 699 dimasukkan ke hospital; dan 25 dirawat di ICU dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sejak Februari lalu hingga semalam, lebih 12.11 juta dos vaksin telah diberikan kepada penduduk selangor dengan 4,783,037 atau 94.5 peratus individu telah lengkap divaksinasi, 4,849,790 atau 95.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 2,495,615 atau 44.7 peratus menerima dos penggalak.
Bagi kes di negeri-negeri lain, Johor turut merekodkan peningkatan jangkitan apabila mencatat 444 kes baharu berbanding 414 semalam; diikuti Negeri Sembilan (340 kes baharu, 218 kes semalam); dan Kedah (315 kes baharu, 275 semalam).
Pulau Pinang mencatat 310 kes baharu berbanding 225 semalam; Melaka (197 kes baharu, 167 semalam); Perak (166 kes baharu, 124 semalam); Putrajaya (46 kes baharu, 20 semalam); dan Perlis (14 kes baharu, 11 semalam).

Pecahan kes bagi negara-negara ASEAN sehingga 21 Januari 2022.