
Data 13 Februari 2022.
Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, turun sedikit daripada 22,802 kes semalam kepada 21,072 hari ini, dengan 86 daripadanya adalah kes serius.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kes positif yang dilaporkan sejak awal 2020 lalu hingga hari ini meningkat kepada 3,040,235 kes.
Menurutnya daripada jumlah kes hari ini, 86 kes atau 0.41 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 20,986 kes (99.59 peratus) kategori 1 dan 2. Berikut adalah pecahan kategori kes hari ini:
- Kategori 1 : 5,995 kes (28.45%);
- Kategori 2 : 14,991 kes (71.14%);
- Kategori 3 : 58 kes (0.28%);
- Kategori 4 : 20 kes (0.09%); dan
- Kategori 5 :8 kes (0.04%).
Sehingga semalam, seramai 2,846,713 pesakit telah pulih, 140,336 kes masih aktif dan 32,114 kematian dilaporkan.
Daripada jumlah kes aktif itu seramai 127,984 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah; 6,254 ditempatkan di PKRC; 5,922 dimasukkan ke hospital; dan 176 pesakit dirawat di ICU, dengan 98 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara turun daripada 1.51 kepada Rt 1.49 hari ini.
Bagaimanapun, semua negeri dan Wilayah Persekutuan kekal merekodkan nilai Rt melebihi 1.00 di mana menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila melepasi 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.
Nilai Rt tertinggi dicatatkan Labuan iaitu 2.14, turun berbanding Rt 2.31 semalam, diikuti Sarawak 1.67 (1.82 semalam); Sabah 1.66 (1.65 semalam); Perlis 1.47 (1.51 semalam); Pulau Pinang 1.46 (1.45 semalam); Johor 1.40 (1.38 semalam); dan Pahang 1.38 (1.34 semalam).
Selangor dan Kelantan pula masing-masing mencatat Rt 1.37, diikuti 1.35 bagi Kedah dan Terengganu; Putrajaya 1.34; Negeri Sembilan 1.31; Melaka 1.28; Perak 1.27; dan Kuala Lumpur 1.22.