Kes harian naik semula di 11 negeri, Selangor turun 5 hari berturut-turut

Beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan kembali mencatat lonjakan jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, ketika pakar berkata pelitup muka tiga lapis yang dipakai dengan betul, sudah memadai untuk melindungi daripada kemungkinan jangkitan Covid-19.

Semalam, hanya empat negeri sahaja yang mencatat peningkatan, tetapi hari ini kes di 11 negeri dan Wilayah Persekutuan kembali melonjak, sedang Selangor yang menjadi ‘hotspots’ Covid-19 di negara ini merekodkan penurunan jangkitan harian lima hari berturut-turut.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh itu naik kepada 3,175 kes, berbanding 2,641 semalam.

Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya, Dr Nirmala Bhoo-Pathy dilaporkan berkata pelitup muka dua atau tiga lapis yang dipakai dengan betul sudah memadai, dan sama pentingnya dengan kerap mencuci tangan serta mengelak ruang sesak atau terkurung.

Mendahului senarai negeri yang mencatat peningkatan ialah Kelantan yang sehingga hari ini merekodkan kumulatif positif sebanyak 172,456 kes, apabila 393 jangkitan baharu dikesan berbanding 197 kes semalam.

Sehingga semalam, Kelantan merekodkan 168,191 kes sembuh, 1,261 kematian dan 2,611 kes lagi masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 1,958 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 391 dirawat di PKRC; 246 dimasukkan ke hospital; dan 16 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk empat daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dari segi kadar vaksinasi di Kelantan, sehingga semalam seramai 1,176,231 individu atau 61.7 peratus penduduk telah melengkapkan suntikan masing-masing, 1,198,807 (62.9 peratus) lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 191,097 (10.0 peratus) individu menerima dos penggalak.

Lima belas daripada 782 kluster yang dikesan di negeri itu masih aktif, dengan lapan daripadanya melibatkan tempat kerja; import (tiga); pendidikan (dua); dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi serta keagamaan.

Bagi 10 lagi negeri dan Wilayah Persekutuan yang merekodkan peningkatan kes baharu hari ini, Johor mencatat 318 kes baharu, berbanding 278 semalam, diikuti Kuala Lumpur (290 kes baharu, 262 semalam); Sabah (253 kes baharu, 161 semalam); dan Pulau Pinang (197 kes baharu, 165 semalam).

Melaka pula merekodkan 186 kes baharu berbanding 123 semalam, diikuti Negeri Sembilan (151 kes baharu, 83 semalam); Putrajaya (46 kes baharu, 30 semalam); Sarawak (22 kes baharu, tujuh semalam); Perlis (12 kes baharu, dua semalam); dan Labuan (enam kes baharu, lima semalam).

Sehingga kini, negara merekodkan 2,792,035 kumulatif kes positif – tempat ketiga dalam kalangan negara-negara ASEAN yang didahului Indonesia dengan 4,267,451 kes, dan Filipina (3,026,473 kes).

Namun sehingga semalam seramai 2,717,422 pesakit Covid-19 di Malaysia telah sembuh, namun merekodkan 31,696 kes kematian.

Sebanyak 39,742 kes masih aktif dengan 32,517 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,583 ditempatkan di PKRC; 3,389 dimasukkan ke hospital; dan 253 pesakit dirawat di ICU, termasuk 106 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam juga seramai 25,653,398 populasi Malaysia atau 78.6 peratus penduduk telah lengkap divaksinasi, 26,027,402 atau 79.7 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 8,032,484 atau 24.6 peratus individu menerima suntikan dos penggalak.

BERITA BERKAIT
POPULAR